Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan


  • Cinta
  • Khamis, 11 Dis 2025

Seorang wanita kelihatan risau sambil memegang dokumen di luar Mahkamah Syariah, bimbang dengan dakwaan palsu bayaran RM50,000 jika mahu bercerai. — Gambar hiasan

SEMAKIN ramai wanita tampil mendedahkan pengalaman ditakutkan suami dengan dakwaan bahawa isteri perlu membayar hingga RM50,000 jika mahu memohon cerai.

Dalam hantaran di Facebook, Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkata, beliau sendiri berdepan situasi itu apabila dihampiri seorang wanita yang menangis di luar Mahkamah Syariah selepas dipercayakan dengan dakwaan palsu tersebut.

“Betul ke mahkamah tetapkan RM50,000 kalau isteri yang minta cerai? Suami saya kata begitu,” tanya wanita itu.

BACA LAGI: Fadhlina Sidek kagum kepetahan pendebat dari SK Felda Purun, muncul juara pertandingan bahas bahasa Melayu

BACA LAGI: Homestay 25 minit dari Oxford ini milik wanita Malaysia, graduan PhD Oxford kini empunya dua kediaman di UK

Fahmi menegaskan dakwaan itu sama sekali tidak benar.

“Sedap sungguh si suami petik nama mahkamah. Hakikatnya, tak ada pun ketetapan begitu,” katanya.

Katanya, terdapat kes di mana suami sengaja mengugut dengan meletakkan jumlah tinggi sebagai syarat untuk melafazkan cerai, walaupun angka tersebut langsung tidak masuk akal.

Namun menurut Fahmi, dakwaan itu sama sekali tidak benar dan hanya helah suami untuk mengambil kesempatan.

Katanya, ramai isteri terpedaya dengan taktik sedemikian sehingga sanggup membayar puluhan ribu ringgit tanpa memahami hak sebenar mereka.

Fahmi turut menceritakan pengalamannya melihat seorang isteri membayar RM20,000 kepada suami untuk dilepaskan sebelum keluar dari dewan mahkamah dalam keadaan kecewa, menyangka undang-undang Islam tidak memihak kepadanya.

“Saya pernah lihat seorang isteri bayar RM20,000. Keluar dari mahkamah dia menyumpah kata undang-undang tak adil. Suami pula senyum sebab dapat ‘cash’. Modal kahwin baru,” katanya.

Menurutnya, perbuatan itu berlaku apabila suami enggan melepaskan isteri tetapi mengambil kesempatan untuk mengaut wang segera.

Tebus talak bukan hukuman dan bukan bayaran wajib

Fahmi menjelaskan bahawa tebus talak (khulu’) hanyalah satu bentuk perceraian yang memerlukan persetujuan kedua-dua pihak dan ia bukan bayaran ganti rugi kepada suami.

“Tebus talak bukan kerana isteri salah atau sebab isteri yang minta cerai. Ia hanya ganti yang dipersetujui bersama. Selalunya memulangkan mahar atau jumlah sederhana,” katanya.

Konsep itu pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW apabila seorang wanita memulangkan mahar berupa kebun kerana tidak lagi mampu meneruskan rumah tangga.

Suami dan isteri dalam perbualan tegang di rumah akibat ugutan suami berkaitan perceraian. — Gambar hiasan

Suami tidak berhak letak harga sesuka hati

Menurut Fahmi, suami tidak boleh menetapkan jumlah tinggi sewenang-wenangnya bagi tujuan mengugut isteri.

“Mas kahwin RM100, tapi tiba-tiba minta RM50,000. Nafkah sepanjang perkahwinan itu bukan modal pelaburan untuk dituntut balik,” katanya.

Sekiranya terdapat pertikaian, mahkamah boleh menaksirkan jumlah wajar. Namun jika salah satu pihak tidak bersetuju, tebus talak tidak boleh dipaksa dan kes perlu melalui proses lain seperti Jawatankuasa Pendamai.

Fahmi menasihatkan para isteri agar tidak mudah percaya dengan ugutan suami yang mencampur-adukkan nama mahkamah untuk menakutkan pasangan.

“Beringatlah. Tebus talak bukan peluang untuk suami kaut duit, lebih-lebih lagi untuk ‘modal kahwin baru’,” katanya.

Beliau menambah bahawa perpisahan sepatutnya berlaku dengan adil, bukan melalui penipuan atau tekanan.

“Kalau hati sudah tidak lagi mampu bertahan, biarlah perpisahan berlaku dengan baik tanpa sebarang bentuk penindasan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram