ANGGAPAN bahawa rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia tertumpu kepada sektor buruh seperti pemetik buah kembali dipatahkan, kali ini bukan dengan hujah kosong.
Ia dibuktikan menerusi deretan kerjaya profesional daripada beberapa individu di media sosial.
Perbincangan itu tercetus selepas seorang lelaki, Yusuf Erdy memuat naik satu hantaran di Threads yang mengajak rakyat Malaysia di Australia, khususnya yang sudah lama menetap dan bekerja di sana untuk tampil berkongsi bidang pekerjaan masing-masing.
Yusuf dalam hantaran tersebut menyeru agar perspektif lama dibuang dan realiti sebenar diketengahkan.
"Sudah tiba masanya kita buang perspektif lama bahawa rakyat Malaysia di Australia hanya bekerja memetik buah.
"Ramai anak Malaysia di sini memegang jawatan profesional dan melakukan pekerjaan yang membanggakan,” tulisnya.
Seruan itu mendapat sambutan luas apabila ruangan komen dipenuhi perkongsian daripada rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di pelbagai negeri di Australia, merangkumi sektor industri berat, kejuruteraan, automotif, kreatif, pertanian dan digital.
Seorang wanita yang menetap di Sydney, Lyna Amalina memperkenalkan dirinya sebagai jurutera reka bentuk kabel yang terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur tenaga.
"Saya mereka bentuk kabel tenaga bagi projek pembinaan, lebuh raya, terowong, sistem rel dan pengagihan kuasa di Australia,” jelasnya.
Bidang pemasaran digital turut diwakili oleh Iffah, yang berkongsi rutin hariannya sebagai digital marketer dan content specialist.
“Kerja saya melibatkan perancangan strategi pemasaran digital, penghasilan kandungan serta pengurusan kehadiran jenama di platform dalam talian,” katanya.
Fahmi Putra pula, yang bekerja sebagai road train operator antara yang tampil berkongsi pengalaman.
“Saya bertugas sebagai pengendali kereta api dan juruterbang darat, mengendalikan kenderaan berat jarak jauh yang memerlukan tahap kemahiran serta disiplin keselamatan yang tinggi,” katanya.
Individu lain, Yusry Edry pula mendedahkan dirinya sebagai pekerja berjawatan jurutera kenderaan.
“Saya terlibat dalam pelbagai aspek automotif termasuk pembaikan badan kenderaan, mekanikal, pemasangan tayar, kemasan serta talaan prestasi,” katanya.
Sementara itu, Arif Karim, seorang jurugambar sukan yang berpangkalan di Sydney berkongsi kisah unik perjalanan kerjayanya.
“Pengalaman merakam perlawanan A-League di Australia membuka ruang kepada saya untuk menggabungkan minat, identiti dan profesionalisme, termasuk membuat liputan dengan mengenakan busana tradisional Melayu,” ujarnya.
Dalam sektor pertanian moden pula, Faez Luqman memegang peranan penting sebagai Irrigation Controller di ladang badam berskala besar.
“Saya bertanggungjawab mengurus sistem pengairan dan fertigation bagi ladang seluas lebih 2,300 hektar bagi memastikan penggunaan air dan nutrien yang optimum,” katanya.
Perkongsian ini bukan sahaja menepis stereotaip lama, malah membuktikan bahawa rakyat Malaysia di Australia memainkan peranan signifikan dalam pelbagai sektor profesional.
Ia sekali gus mencerminkan keupayaan anak Malaysia untuk bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa, jauh melangkaui tanggapan sempit yang sering dikaitkan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
