TIDUR yang sepatutnya memberi ketenangan bertukar mimpi ngeri bagi wanita warga Thailand apabila disiram air mendidih oleh suaminya ketika sedang lena.
Kejadian yang berlaku pada 3 Disember itu meninggalkan kecederaan melecur serius pada 40 peratus tubuhnya.
Kini, mangsa bersiap untuk memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan atas penderitaan fizikal dan psikologi yang dialami.
Kedutaan Thailand di Korea Selatan memaklumkan bahawa pihaknya telah membantu mangsa mendapatkan khidmat guaman dan memberi sokongan undang-undang.
Duta Besar Thailand, Tanee Sangrat turut melawat mangsa bagi menyampaikan sokongan dan mendoakan kesembuhan segera.
Suspek kini berdepan pertuduhan jenayah, dengan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Daerah Uijeongbu pada Selasa.
Polis juga mengeluarkan perintah perlindungan kecemasan bagi menjamin keselamatan mangsa.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur serius pada wajah dan beberapa bahagian badan lain, sehingga memerlukan rawatan intensif di hospital di Seongdong-gu, Korea.
Kakitangan perubatan segera memaklumkan pihak polis selepas mengesyaki kejadian berpunca daripada keganasan rumah tangga.
Dalam siasatan awal, suspek mengaku menyerang isterinya dengan niat untuk mencacatkan wajah mangsa supaya wanita itu tidak memandang lelaki lain.
Namun, dalam soal siasat kemudian, beliau menafikan niat tersebut dan mendakwa kejadian berlaku secara tidak sengaja apabila tersadung dan menumpahkan air panas.
Kes berkenaan menjadi tular selepas mangsa memuat naik gambar wajahnya yang dibalut dengan pembalut perubatan di media sosial, menimbulkan simpati ramai warga maya dan seruan agar keadilan ditegakkan.
Polis seterusnya mengeluarkan perintah larangan menghampiri dan menghubungi mangsa bagi memastikan keselamatan wanita itu terjamin.
Kedutaan Thailand menegaskan kesediaan mereka untuk terus memberi sokongan, termasuk menyediakan khidmat penterjemahan dan perundingan guaman.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Thailand turut tampil menawarkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan mangsa.
Mangsa menyatakan beliau tidak lagi ingin meneruskan hubungan perkahwinan tersebut dan menjelaskan bahawa dia hanya menemani suami ke hospital kerana tidak mampu menanggung kos perubatan sendirian.
Sementara itu, orang ramai terus menzahirkan sokongan kepada mangsa di media sosial, dengan ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
