PERNAHKAH anda bertemu dengan individu yang sudah sampai di lokasi pertemuan seawal pukul 9.45 pagi, meskipun janji temu pada pukul 10.00 pagi?
Bagi segelintir pihak, tabiat itu mungkin dilihat sebagai keterlaluan, namun dari sudut psikologi ia sebenarnya mencerminkan mekanisme cara otak berfungsi serta pengurusan emosi.
Baru-baru ini, tular satu perkongsian di media sosial yang membedah sikap tersebut, menegaskan bahawa tabiat sampai awal bukan sekadar soal disiplin, tetapi merupakan satu bentuk penjagaan diri atau self-care.
BACA LAGI: Larangan wanita guna telefon pintar di India ditarik balik
BACA LAGI: Meminta pertolongan bukan tanda lemah, tetapi sisi murni kemanusiaan
Bagi golongan tersebut, tempoh 15 minit sebelum waktu sebenar berfungsi sebagai ‘zon penenang’ (buffer zone).
Tempoh tersebut digunakan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum mula bersosial atau memulakan mesyuarat.
Secara psikologinya, ini adalah kaedah mereka mengawal keresahan (anxiety) kerana mereka enggan berada dalam keadaan terburu-buru, berpeluh mencari ruang parkir atau tercungap-cungap ketika melangkah masuk ke ruang pertemuan.
Individu yang gemar sampai awal biasanya sangat menghargai keadaan yang boleh diramal (predictability).
Memandangkan dunia luar penuh dengan gangguan luar kawalan seperti kesesakan lalu lintas atau kerosakan teknikal, mereka memilih untuk mengambil kendali terhadap hidup sendiri.
Dengan sampai awal, mereka mengelak daripada menjadi ‘mangsa keadaan’, sekali gus memastikan fokus dan ketenangan berada pada tahap optimum.
Dalam aspek sains tingkah laku, tabiat itu dikaitkan dengan tahap Conscientiousness yang tinggi.
Individu itu merupakan seorang yang sangat bertanggungjawab, teratur dan boleh dipercayai dalam sebarang hubungan atau tugasan.
Isyarat yang cuba disampaikan adalah jelas kerana mereka menghargai masa orang lain sebagaimana mereka menghargai masa sendiri.
Namun, di sebalik ketepatan masa tersebut, wujud satu keadaan yang dikenali sebagai time anxiety atau keresahan masa.
Bagi kelompok ini, kelewatan meskipun hanya lima minit boleh menyebabkan degupan jantung menjadi kencang seolah-olah melakukan satu kesalahan besar.
Ia bukan sekadar takut dimarahi tetapi lebih kepada rasa integriti diri yang tercalar apabila gagal memenuhi janji pada diri sendiri.
Pada akhirnya, keinginan untuk hadir lebih awal bertujuan untuk mengelakkan rasa rimas dan meningkatkan keyakinan diri.
Apabila seseorang itu tenang, mereka mampu melangkah masuk ke dalam mana-mana situasi dengan penuh karisma. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
