MENJELANG penghujung tahun, keterujaan keluarga untuk pulang ke kampung atau melancong sering kali terjejas apabila ada ahli keluarga yang jatuh sakit secara tiba-tiba.
Ia sekali gus melumpuhkan perancangan percutian yang telah disusun rapi sepanjang tahun.
Ibu bapa sering berhadapan situasi di mana anak-anak mula menunjukkan gejala bersin dan batuk sebaik tiba di destinasi.
BACA LAGI: Larangan wanita guna telefon pintar di India ditarik balik
BACA LAGI: Pengayuh basikal kreatif ubah lebih 700 rim roda terbuang jadi karya seni
Fenomena itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan pendedahan risiko semasa dalam perjalanan.
Faktor utama peningkatan kes penyakit semasa musim cuti adalah pendedahan kepada orang ramai di ruang tertutup dan sesak seperti di dalam tren, bas dan pesawat.
Situasi itu memudahkan transmisi kuman antara penumpang.
Selain itu, keletihan akibat perjalanan jarak jauh boleh melemahkan sistem imun badan, menjadikan seseorang lebih mudah dijangkiti penyakit.
Risiko itu berterusan di destinasi pelancongan yang sesak dengan pelawat serta tahap kebersihan makanan yang mungkin meragukan.
Beberapa penyakit pernafasan dan penghadaman sering dikesan meningkat semasa musim ini antaranya:
- Covid-19: Walaupun bukan lagi pandemik, lonjakan kes masih boleh berlaku dari semasa ke semasa.
- Influenza: Di Malaysia, kes Influenza A dan B memuncak antara November hingga Januari, selari dengan musim cuti.
- Selesema biasa: Disebabkan oleh pelbagai virus pernafasan, ia kerap berlaku walaupun gejalanya tidak seberat influenza.
- Keracunan makanan: Gejala seperti cirit-birit dan muntah sering berpunca daripada makanan atau minuman yang tercemar oleh bakteria seperti Salmonella atau E. coli.
Bagi mengurangkan risiko, orang ramai dinasihatkan membuat kaji selidik mengenai destinasi yang ingin dikunjungi bagi mengenal pasti sebarang wabak penyakit endemik di kawasan tersebut.
Persediaan insurans perjalanan juga amat penting sebagai pelindungan kewangan sekiranya berlaku kecemasan medikal, kecederaan atau pembatalan perjalanan yang tidak dijangka.
Pastikan beg kit kecemasan dibawa bersama, mengandungi ubat-ubatan asas, pelindung cahaya matahari, serta ubat-ubatan khusus bagi ahli keluarga yang mempunyai alahan atau penyakit kronik.
Amalan membasuh tangan secara kerap dengan sabun, terutamanya sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, amatlah dituntut bagi menghapuskan kuman.
Etika batuk dan bersin perlu dititikberatkan dengan menggunakan sapu tangan atau tisu. Jika tiada, gunakan bahagian dalam siku bagi mengelakkan penyebaran titisan pernafasan kepada orang lain.
Penggunaan pelitup muka amat digalakkan, khususnya bagi kumpulan rentan atau mereka yang perlu melakukan perjalanan dalam keadaan kurang sihat bagi melindungi orang sekeliling.
Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan suntikan vaksinasi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan.
Antara vaksin yang disyorkan termasuklah influenza, rotavirus, tifoid, dan hepatitis A.
Melalui persediaan rapi dan langkah pencegahan yang betul, kualiti masa bersama keluarga dapat dijaga, sekali gus memastikan memori percutian yang indah tanpa gangguan masalah kesihatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
