Pengayuh basikal kreatif ubah lebih 700 rim roda terbuang jadi karya seni


  • Hias
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Barnaby Wickham menunjukkan salah satu penutup rim roda yang ditemuinya semasa berbasikal di Baltimore sebelum diubah menjadi karya seni yang unik.

SEORANG pengayuh basikal di Amerika Syarikat, Barnaby Wickham, mengambil inisiatif unik dengan mengumpul lebih 700 penutup rim roda (hubcap) yang ditemuinya sepanjang laluan berbasikal di sekitar bandar negara itu untuk dijadikan karya seni memukau.

Hobi luar biasa yang bermula hampir dua tahun lalu itu tercetus daripada minat mendalam beliau terhadap sukan berbasikal dan kepuasan menukarkan bahan buangan menjadi barangan berharga.

Antara hasil seni yang telah dihasilkan termasuklah hiasan karangan bunga Krismas, replika ikan gergasi, dan arca kepala watak kartun popular, Snoopy dalam saiz yang amat besar.

BACA LAGI: Jangan semberono ikut 'nasihat' pempengaruh perihal perubatan, pakar gesa kawalan ketat

BACA LAGI: Bakul anyaman rumbia Senegal laris di Barat, namun pengusaha wanita terus terpinggir

"Saya rasa keterujaan itu datang daripada proses mencarinya. Saya suka berbasikal dan menyayangi bandar Baltimore. Jumlah rim roda yang dijumpai di sini mencukupi untuk menjadikannya menarik, tetapi tidaklah terlalu mudah untuk ditemui," kata Wickham, 54.

Beliau mula aktif mengumpul barangan tersebut sejak awal 2024. Setiap kali menemui penutup rim di jalanan, beliau akan mengikatnya pada beg galas untuk dibawa pulang ke rumah.

Menariknya, Wickham turut menggunakan teknologi bagi menyokong hobinya dengan menandakan lokasi setiap penemuan di dalam aplikasi Google Maps bagi memantau taburan "harta karun" tersebut.

Meskipun komuniti setempat sering membantu menyalurkan maklumat mengenai lokasi penutup rim yang tercicir, Wickham lebih gemar mengutipnya sendiri kerana menyifatkan proses pencarian itu sebagai satu kegembiraan.

Isterinya, Kate, turut memainkan peranan penting sebagai pasukan sokongan yang membantu memegang material semasa proses pembinaan arca serta memberikan pendapat dari sudut estetika.

Wickham yang bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat teknologi pertahanan, menjalankan kerja-kerja pertukangan di garaj dan halaman rumahnya dengan menggunakan bahan seperti kawat logam dan pengikat kabel (zip ties).

Menurut beliau, struktur penutup rim yang mempunyai banyak lubang memudahkan proses penyambungan dan penyusunan untuk membentuk arca yang diinginkan.

Salah satu hasil kerjanya yang paling mengagumkan adalah arca kepala Snoopy yang berukuran setinggi 4.9 meter dan selebar 6.4 meter, menunjukkan skala kreativiti beliau yang luar biasa.

Selain di Baltimore, koleksi Wickham turut merangkumi penemuan dari luar kawasan termasuk ketika beliau melawat anaknya di Universiti Kent State, Ohio, malah beliau pernah membawa pulang penutup rim dari Rom, Itali, semasa lawatan kerja.

Aktiviti kebajikan turut menjadi sebahagian daripada sasarannya apabila beliau mendermakan dua hiasan karangan bunga Krismas hasil buatannya kepada pihak bandaraya dan sebuah organisasi bukan untung pada tahun lalu.

Hobi ini juga berjaya merapatkan hubungan komuniti apabila penduduk setempat sering menyapa dan membantunya menunjukkan lokasi penutup rim yang hilang setiap kali melihat beliau berbasikal.

Bagi Wickham, projek ini bukan sekadar seni kitar semula, malah ia menjadi pemula perbualan yang positif dan menyebarkan kegembiraan kepada orang ramai yang melihat hasil usahanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram