KES penderaan kanak-kanak yang melibatkan bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Desa Petaling, Selangor, baru-baru ini mengundang kemarahan dan kebimbangan ramai.
Penularan rakaman dan perkongsian di media sosial bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah membuka semula perdebatan sensitif berkaitan ibu yang menghantar anak ke taska.
Susulan kes itu tular, muncul pelbagai reaksi di media sosial.
Namun, setiap kali kes penderaan tular, ibu bekerja sering menjadi sasaran sindiran dengan kenyataan kononnya lebih baik menjaga anak sendiri.
Seorang pengguna Threads, Tyajamal tampil menegur naratif berkenaan yang disifatkannya tidak adil dan menyakitkan hati.
“Boleh tak hentikan ayat ‘sebab itu aku rela jaga anak sendiri’ setiap kali ada kes penderaan kanak-kanak? Boleh tak? Saya suri rumah yang jaga anak sendiri pun rasa menyampah baca ayat macam ni,” tulisnya.
Kenyataan itu mendapat perhatian ramai termasuk pelakon Intan Najuwa, yang menyuarakan pandangan lebih berempati terhadap ibu bekerja.
Menurut Intan, tiada ibu yang dengan rela hati meninggalkan bayi mereka semata-mata untuk bekerja.
Sebaliknya, kebanyakan terpaksa berbuat demikian demi meneruskan kehidupan dan masa depan anak.
“Tak ada ibu yang suka-suka keluar bekerja dan tinggalkan bayi dengan pengasuh. Kebanyakan masa, mereka memang tiada pilihan. Ini soal kelangsungan hidup iaitu untuk hari ini dan masa depan anak mereka. Jadi, tolong ada sedikit empati,” katanya.
Intan turut menegaskan isu sebenar bukan terletak pada ibu bapa, sebaliknya pada tanggungjawab dan kelayakan pengasuh.
“Kalau nak jadi pengasuh, pastikan kesihatan mental berada dalam keadaan baik dan benar-benar mampu menjaga kanak-kanak, terutama bayi. Kalau tak boleh tanggung, lebih baik cari pekerjaan lain. Jangan aniaya anak orang," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai ibu bekerja menyuarakan rasa dihargai dan berkongsi realiti kehidupan mereka.
Seorang pengguna, Ain Nia menganggap ramai orang tidak memahami golongan ibu yang bekerja.
“Terima kasih Datin sebab faham kami, ibu bekerja. Kami tak minta banyak, cuma minta difahami. Bukan semua orang keluar bekerja sebab mahu, tetapi sebab terpaksa demi keluarga. Ini soal kelangsungan hidup, dan setiap orang berdepan cabaran yang berbeza," katanya.
Seorang lagi pengguna, Saidatul Aisyah turut meluahkan pandangan serupa.
“Setiap orang ada perjuangan masing-masing. Nak hidup lebih baik, nak sediakan makanan berkualiti untuk anak, semua perlukan duit. Matlamat hidup setiap orang berbeza.
"Jadi jangan salahkan ibu bekerja seolah-olah mereka tidak menyayangi anak sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
