Berikut perkara perlu dilakukan pesakit kronik ketika berdepan banjir, elak terputus bekalan ubat


  • Sihat
  • Isnin, 22 Dis 2025

Pesakit dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan bekalan ubat baharu bagi memastikan rawatan diteruskan dengan selamat. — Gambar hiasan

BANJIR yang melanda negara setiap tahun bukan sahaja menjejaskan kediaman dan infrastruktur, malah turut memberi kesan besar terhadap kesihatan awam, khususnya kepada pesakit yang bergantung kepada pengambilan ubat secara berterusan.

Ahli farmasi Hospital Tawau, Sabah, Farah Amaliena Zulkiflee berkata, gangguan akses ke fasiliti kesihatan ketika banjir boleh menyebabkan pesakit gagal mendapatkan bekalan ubat, sekali gus berisiko mengalami masalah kesihatan yang lebih serius.

“Ketika banjir, sesetengah fasiliti kesihatan mungkin tidak dapat diakses akibat jalan terputus atau terjejas menyebabkan pesakit tidak dapat mendapatkan pengisian semula ubat mereka,” katanya.

BACA LAGI: Tak mahu isteri pandang lelaki lain, suami tergamak siram air panas hingga melecur ketika tidur, mangsa nekad fail saman

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan terutama bagi pesakit kronik kerana dos ubat yang terlepas boleh menyebabkan penyakit menjadi tidak terkawal, selain meningkatkan risiko komplikasi.

“Gangguan rawatan boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan pesakit, khususnya mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan asma,” jelasnya.

Bawa salinan preskripsi ubat semasa evakuasi banjir supaya petugas kesihatan boleh bantu tambah bekalan ubat jika perlu.

Meskipun Malaysia tidak berdepan dengan bencana alam berskala besar secara kerap, banjir kekal sebagai bencana tahunan yang berpunca daripada hujan lebat serta pengaruh monsun Barat Daya dan Timur Laut.

“Selain menjejaskan rawatan, keadaan pasca-banjir juga berpotensi meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Perlu rancang sebelum banjir

Sehubungan itu, Farah menegaskan kepentingan perancangan awal pengurusan ubat, khususnya bagi penduduk di kawasan berisiko banjir.

“Pesakit kronik perlu memastikan mereka mempunyai bekalan ubat yang mencukupi sepanjang musim banjir dan menyimpannya di dalam bekas yang selamat serta mudah dibawa sekiranya perlu berpindah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar ubat disimpan dalam pembungkusan asal, dilindungi daripada kelembapan, cahaya dan suhu yang tidak sesuai, selain diletakkan jauh daripada capaian kanak-kanak.

Bagi ubat yang memerlukan penyimpanan sejuk seperti insulin, Farah menyarankan penggunaan beg penyejuk berpenebat bersama pek ais boleh guna semula.

“Dokumen perubatan seperti preskripsi dan rekod rawatan juga perlu disimpan dengan selamat atau dalam bentuk digital bagi memudahkan pengenalan ubat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Pusat pemindahan banjir biasanya mempunyai pasukan perubatan yang bersedia jika seseorang memerlukan bantuan. 

Jangan kongsi ubat di PPS 

Mengulas mengenai pengurusan ubat di pusat pemindahan sementara (PPS), Farah mengingatkan pesakit agar tidak berkongsi ubat preskripsi dengan individu lain.

“Ubat yang ditetapkan untuk seseorang pesakit tidak semestinya sesuai untuk orang lain walaupun mempunyai simptom yang sama,” katanya.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang bertugas di PPS biasanya membawa kit perubatan bencana bagi membantu mangsa banjir yang memerlukan rawatan.

“Pesakit yang mengalami gangguan bekalan ubat perlu segera memaklumkan kepada petugas kesihatan supaya tindakan lanjut dapat diambil,” ujarnya.

Ubat tercemar tidak selamat digunakan

Selepas banjir surut, Farah menegaskan bahawa pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran, terutamanya jika ubat mereka terdedah kepada air banjir.

“Ubat yang terdedah kepada air banjir atau disimpan dalam keadaan tidak sesuai berisiko tercemar dan kehilangan keberkesanan, justeru tidak selamat untuk digunakan,” katanya.

Antara tanda ubat telah rosak termasuk kapsul yang melekit serta tablet yang kelihatan lembap, hancur atau berubah warna.

Beliau menegaskan bahawa pengurusan ubat yang baik sebelum, semasa dan selepas banjir amat penting bagi memastikan kesinambungan rawatan serta melindungi kesihatan pesakit.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan ubat-ubatan boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722 pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum.

Di PPS ubat perlu disimpan dengan baik bagi mengelakkan kerosakan atau pencemaran akibat air banjir.

Pesakit juga diingatkan agar tidak berkongsi ubat preskripsi dengan individu lain, walaupun mempunyai simptom yang hampir sama, kerana setiap ubat ditetapkan berdasarkan keperluan kesihatan individu.

Sekiranya bekalan ubat terputus atau tidak mencukupi, pesakit perlu segera memaklumkan kepada pasukan perubatan bertugas. Lazimnya, pasukan ini dilengkapi kit perubatan bencana bagi membantu mangsa banjir yang memerlukan rawatan segera.

Pasca banjir

Selepas banjir surut, tumpuan utama ialah memastikan keselamatan baki ubat yang masih ada serta menyambung semula rawatan susulan.

Pesakit disarankan mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran secepat mungkin, terutama jika ubat terdahulu rosak atau terdedah kepada air banjir.

Ubat yang tercemar atau disimpan dalam keadaan tidak sesuai boleh kehilangan keberkesanan dan berbahaya untuk digunakan.

Antara tanda ubat rosak termasuk kapsul yang melekit, tablet yang lembap, hancur atau berubah warna. Ubat-ubatan sedemikian tidak selamat digunakan dan perlu dilupuskan dengan cara yang betul.

Pengurusan ubat yang baik sebelum, semasa dan selepas banjir amat penting bagi menjamin kesinambungan rawatan, khususnya dalam kalangan pesakit kronik. 

Persediaan rapi bukan sahaja dapat mengelakkan komplikasi kesihatan, malah membantu mengurangkan tekanan emosi ketika berdepan situasi kecemasan.

Walaupun bencana alam sukar dijangka, pelan persediaan yang teratur mampu meningkatkan tahap kepatuhan rawatan dan melindungi kesihatan komuniti secara keseluruhan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan ubat-ubatan boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian percuma 1-800-88-6722, pada hari bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum.  — Majoriti

Farah Amaliena Zulkiflee ialah seorang ahli farmasi di Hospital Tawau, Sabah. Artikel ini adalah ihsan Bahagian Amalan dan Pembangunan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram