SEORANG ibu tidak mampu menahan sebak apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah taska di Desa Petaling, Selangor mendedahkan detik bayinya yang baru berusia enam bulan dikasari oleh pengasuh.
Rakaman tular di media sosial itu dikongsikan oleh ibu bayi berkenaan, dikenali sebagai Liyanazulkifli, yang turut memuat naik beberapa klip video di laman Threads demi menuntut keadilan buat anaknya.
“Anak saya diperlakukan macam anak patung. Hari kejadian 15 Disember 2025. Tolong kongsi untuk keadilan anak saya,” tulisnya.
Menurut wanita itu, bayinya yang masih belum mampu bercakap atau melawan dibedung secara kasar, dicampak, digolek, ditarik, dipijak dan ditampar tanpa sebarang rasa belas ihsan.
“Yang tengah itu anak saya. Anak saya baru enam bulan, tak tahu apa-apa. Empat tahun menanti nak dapat anak. Hancurnya hati tengok anak kena macam ini,” luahnya lagi.
Lebih menyayat hati, rakaman CCTV turut menunjukkan seorang pengasuh membersihkan najis bayi sebelum menggunakan tisu yang sama untuk menyapu muka bayi berkenaan.
Dalam klip lain, pengasuh terbabit dilihat menolak bayi di hadapannya seolah-olah objek permainan, menyebabkan bayi itu tergolek di lantai.
Berhubung kes tular itu, polis mengesahkan seorang pengasuh wanita berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan kes penderaan membabitkan bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di taska berkenaan.
“Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
