CATATAN peribadi yang ditinggalkan insan tersayang sering menjadi antara kenangan terindah dan saksi kasih sayang tidak terucap.
Itulah perkara dirasai seorang wanita apabila membaca diari arwah bapanya.
Lebih mengharukan apabila diari tersebut dipenuhi dengan pelbagai catatan termasuk peristiwa yang berlaku dalam keluarganya secara terperinci.
Berdasarkan perkongsian pemilik akaun Threads @ismihafiza_, terdapat beberapa tarikh penting yang turut ditulis dalam diari berkenaan.
"Baca diari ayah dengan kakakku, lama tangisan kami berdua.
"Sekecil-kecil perkara ayah tulis adalah anak-anak bertunang, hari ulang tahun isteri dan anak-anak.
"Anak-anak balik kampung, rutin harian dengan mak, legend badminton negara, Lee Chong Wei kalah dengan lawan dari China, Lin Dan pun ada rekod.
"Kenangan mahal yang tak mampu kami beli. Syurga buat ayah," katanya sambil memaklumkan sudah 35 hari pemergian arwah.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain.
Pemilik akaun @theaufthority berpandangan bahawa amalan menulis diari dalam kalangan generasi terdahulu bukan sekadar catatan harian, sebaliknya lambang kesabaran dan penerimaan terhadap takdir.
"Kita menulis supaya kita tak merungut, supaya orang sekeliling tak susah hati.
"Sebab itu bila kita baca catatan pak cik ini, walaupun ringkas, rasanya sangat berat kerana ia ditulis untuk dirinya sendiri," komennya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @hfshzhr menyifatkan, catatan ringkas tersebut dilihat sebagai luahan yang tulus dan bermakna.
"Ini memori dalam bentuk garis masa, ditulis dengan kasih sayang.
"Ia menunjukkan bagaimana seseorang mengingati orang di sekelilingnya.
"Apabila kita tiada nanti, inilah yang akan ditinggalkan untuk dikenang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
