Fasih berbahasa Inggeris, anak remaja legenda bola keranjang China jadi 'penterjemah' bapa di pentas majlis amal


  • Bonda
  • Selasa, 23 Dis 2025

Yao Qinlei menjadi perhatian sewaktu menjadi 'penterjemah' bapanya dalam sebuah majlis amal. — Agensi

LEGENDA bola keranjang China, Yao Ming baru-baru ini hadir bersama anak perempuannya, Yao Qinlei, di majlis gala kebajikan Yayasan Yao di Shanghai.

Namun kali ini, remaja berusia 15 tahun itu bukan sekadar menemani bapanya.

Qinlei yang memiliki ketinggian sekitar 1.9 meter (m), sama seperti ibunya yang juga bekas pemain bola keranjang profesional, Ye Li, turut naik ke pentas bersama Yao Ming ketika beliau berucap kepada tetamu.

BACA LAGI: Gara-gara tunang makan banyak, lelaki fail saman tuntut wang hantaran, perbelanjaan peribadi

BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda Aceh redah tanah runtuh, jalan kaki sejauh 136km demi 'halalkan' bakal isteri

Majlis tersebut bertujuan menyokong pembangunan belia dan pendidikan sukan.

Qinlei bertindak sebagai jurubahasa dan menyampaikan ucapan bapanya dalam bahasa Inggeris dengan lancar.

Walaupun kelihatan sedikit gugup pada awalnya, Qinlei berjaya melaksanakan tugas itu dengan baik, sementara Yao Ming dilihat memerhati dengan penuh bangga di sisinya.

Mereka turut berkongsi momen manis dengan ‘high-five’ sebelum meninggalkan pentas.

Penampilan Qinlei menarik perhatian ramai, bukan sahaja kerana ketenangannya, tetapi juga ketinggiannya yang sudah mencecah paras bahu bapanya yang setinggi 2.29 m.

Ramai warga maya turut memuji penguasaan bahasa Inggerisnya, malah ada yang berseloroh bahawa Yao Ming tidak lagi memerlukan penterjemah bahasa Inggeris.

Ada juga yang bergurau mengatakan selepas sembilan tahun beraksi dalam NBA, Yao Ming sebenarnya mampu menyampaikan ucapan itu sendiri dalam bahasa Inggeris, namun memilih untuk memberi peluang kepada anaknya untuk menyerlah.

Menurut laporan, Qinlei pernah mengikuti program tadika dwibahasa di Shanghai, di mana bahasa Inggeris sudah diperkenalkan sejak peringkat awal pendidikan.

Bapa dan anak itu kelihatan ceria ketika kembali ke tempat duduk mereka dengan ramai pemerhati menyedari betapa Qinlei kini tampak semakin matang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram