PUTERI kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu, Dzakira Talita Zahra, baru-baru ini berjaya menamatkan pengajiannya di sebuah sekolah antarabangsa.
Ucapan penghargaan yang disampaikannya itu ternyata mengundang sebak di hati ramai, terutamanya buat ibu tirinya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah atau lebih dikenali sebagai Watie.
Thalita yang kini berusia 12 tahun, menyampaikan ucapan beremosi itu dengan penuh tenang menghargai setiap individu yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan hidupnya.
Dalam ucapan itu, Thalita memulakan dengan penghormatan buat ibu bapa kandungnya, pelawak Shuib dan Allahyarhamah penyanyi, Siti Sarah Raisuddin.
Beliau meluahkan rasa rindu dan sedih kerana Allahyarhamah ibunya tidak berkesempatan untuk melihatnya berada di atas pentas itu.
"Ibu, walaupun anda tidak berpeluang untuk melihat saya lulus sekolah tinggi, tetapi saya akan sentiasa menyayanginya," ujar Talita.
Detik paling menyentuh hati apabila Thalita meluahkan rasa terima kasih yang mendalam buat ibu tirinya, Watie, yang dinikahi oleh Shuib pada Jun 2023.
Thalita tanpa ragu-ragu memberikan pengiktirafan kepada Watie, meskipun beliau sedia maklum dengan pandangan umum mengenai status ibu tiri.
"Dan bagi ibu saya (Watie), walaupun orang ramai akan sentiasa melihat anda sebagai ibu tiri saya, saya akan sentiasa melihat anda sebagai ibu bapa saya yang sebenar,” kata Thalita.
Thalita turut menghargai rakan-rakan dan guru-guru yang telah banyak memberikannya bimbingan dalam aspek bahasa, ilmu, muzik dan kehidupan.
Watie, yang sering dilihat mesra bersama anak-anak Shuib, tidak dapat menyembunyikan perasaannya yang terharu selepas mendengar ucapan tersebut.
Menerusi hantaran di Instagram peribadinya, Watie berkongsi rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas graduasi Thalita.
Beliau mengakui bahawa beliau hampir menitiskan air mata ketika mendengar bait-bait ucapan tersebut.
"So proud of you! Hujung-hujung itu kamera dah goyang-goyang sebab Mummy dah mula nak menitik air mata dengar ucapan you," tulis Watie, yang menggunakan panggilan mesra Mummy dalam kalangan anak-anak Shuib.
Beliau turut melahirkan penghargaan istimewa buat Thalita kerana sentiasa meletakkan nama Mummy di bibir dan hati gadis cilik itu.
"Terima kasih kerana dalam ibu dan 'daddy', sentiasa ada nama 'Mummy' di bibir dan hati you. Semoga you sentiasa menjadi kebanggaan keluarga dalam apa jua yang you perjuangkan," tambahnya lagi.
Kini, Thalita telah mula meniti jejak langkah ibu dan bapanya dalam industri seni apabila beliau menyertai program nyanyian Talk to My Manager yang membuktikan beliau turut mewarisi bakat besar daripada kedua-dua orang tuanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
