SINGAPURA mempertahankan keputusan mengharamkan penggunaan vape atau rokok elektronik di negara itu, jauh lebih awal berbanding negara lain termasuk Malaysia.
Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko peranti itu khususnya dalam kalangan golongan muda.
Menurut beliau, beberapa negara Asean seperti Brunei, Laos dan Kemboja sudah melaksanakan larangan berkenaan, selain Malaysia dijangka mengambil pendekatan sama menjelang pertengahan tahun depan.
BACA LAGI: Sasar haramkan vape sepenuhnya pertengahan 2026 — KKM
BACA LAGI: Dewan Rakyat: 37 negara dah haramkan vape — Timbalan Menteri Kesihatan

Ong Ye Kung (tengah) bersama delegasi media dari Malaysia sempena Program Lawatan Wartawan Malaysia (MJVP) kali ke-17 anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) baru-baru ini.
"Memang boleh kenakan cukai dan dapat hasil (penjualan vape), tetapi risiko kesihatan tidak berbaloi terhadap masyarakat dan golongan muda.
"Satu pod vape mengandungi jumlah nikotin yang bersamaan empat bungkus rokok, dan kanak-kanak boleh menghabiskannya dalam masa sehari.
"Hari ini mungkin cuma berperisa laici atau durian, kita tak tahu esok mungkin bercampur ganja dan kokain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara santai Ketika Program Lawatan Wartawan Malaysia (MJVP) anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) baru-baru ini.
Ia merupakan MJVP yang ke-17 sejak diperkenalkan pada 1980.

Ong Ye Kung (tengah) berharap pengharaman vape dapat dilaksanakan negara serantau.
Dalam perkembangan lain, Ye Kung mengakui doktor dari Malaysia turut tergolong sebagai sumber untuk direkrut bagi mengisi keperluan kesihatan negara republik berkenaan selain United Kingdom dan India, namun jumlahnya adalah kecil.
Buat masa ini, jelas beliau, majoriti doktor yang berkhidmat dalam sektor kesihatan negara itu masih dalam kalangan rakyat tempatan.

Vivian Balakrishnan (tengah) ketika bertemu delegasi wartawan dari Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu dalam sesi bual bicara berasingan, Singapura kekal untuk tidak meminda undang-undang hukuman mati terhadap kesalahan dadah di negara republik itu.
Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata, hukuman itu kekal dilaksanakan meskipun terdapat tekanan antarabangsa dan kebimbangan hak asasi manusia.
"Statut itu kekal sehingga rakyat kita (Singapura) memilih sebaliknya, tiada perubahan undang-undang," katanya.
Dua rakyat Malaysia, K. Datchinamurthy, 39, dan P. Pannir Selvam Pranthaman, 38, dihukum gantung di Singapura kerana kesalahan mengedar dadah pada tahun ini.

Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) bergambar kenangan bersama wartawan dari Malaysia sempena MJVP kali ke-17 di Singapura baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) Singapura, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata, Singapura akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pendakwah agama dari luar negara termasuk Malaysia yang cuba mencetuskan sentimen negatif terhadap masyarakat majmuk setempat.
Menurut beliau, ia termasuk memantau pengaruh media dari Malaysia kerana masih boleh ditonton termasuk siaran televisyen dan media sosial.
"Kami mempunyai kriteria sendiri kerana ada topik yang sensitif. Masyarakat pun kini lebih peka. Dulu kadang-kadang kita dengar apa berlaku di Malaysia akan menjejaskan emosi, sekarang lebih kepada pastikan ia tidak akan terjadi di Singapura," katanya.

Josephine Teo (tengah) komited memastikan keselamatan rakyat Singapura terjamin daripada sebarang ancaman digital.
Sementara itu, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo berkata, kerajaan Singapura menetapkan syarikat telekomunikasi wajib menyekat panggilan robo (robo call) sebagai antara syarat pelesenan.
Selain itu katanya, pihaknya turut membangunkan aplikasi ScamShield yang boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma, dan aplikasi itu berfungsi untuk melindungi pengguna daripada penipuan, panggilan scam serta ancaman digital lain.
"Syarikat telekomunikasi Singapura perlu menyekat panggilan jika nombor tersebut mencurigakan dan membuat panggilan kepada ribuan orang, atau jika nombor tersebut menyamar dan meniru salah satu nombor telefon tempatan dan menambah awalan 65.
"Singtel (salah satu syarikat telekomunikasi di Singapura) menyekat kira-kira 30 juta panggilan sebulan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
