Wanita New Britain mengaku bersalah jual, import 2,000 barangan tiruan, raih RM16 juta hasil jualan!


  • Gaya
  • Isnin, 22 Dis 2025

Beg tiruan yang dijual di bandar New York. — Agensi

SEORANG wanita yang juga penduduk New Britain, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) Melissa Cruz mengaku bersalah Isnin lalu di Mahkamah Daerah AS di Hartford atas penglibatannya dalam konspirasi untuk mengimport dan menjual barangan tiruan.

Menurut peguam AS bagi Connecticut, David X. Sullivan, Melissa bersama beberapa rakan kongsi telah memperoleh lebih daripada AS$4 juta (RM16 juta) daripada penjualan pakaian tiruan dan beg tangan palsu melalui perkhidmatan pembayaran digital seperti CashApp, PayPal dan Venmo.

Berita itu turut disahkan ejen khas bagi Homeland Security Investigations bagi New England, Michael J. Krol.

BACA LAGI: Propaganda semata, serangan psikologi ubah berlian dari batu kristal biasa jadi permata paling berharga di dunia?

BACA LAGI: Huda Kattan beli semula Huda Beauty, 8 tahun kerjasama dengan syarikat pelaburan AS tamat

Selepas hadir di hadapan Hakim Daerah AS Vernon D. Oliver, Melissa dibebaskan dengan jaminan sendiri sementara menunggu tarikh hukuman yang dijadualkan pada 12 Mac.

Berdasarkan dokumen mahkamah, antara 2021 hingga 2024, Melissa bersekongkol dengan pihak lain untuk menjual pakaian mewah tiruan, beg tangan dan barang kemas palsu berjenama kepada pelanggan di seluruh AS, termasuk produk yang diimport dari luar negara.

Melissa kemudiannya menggunakan Facebook Live untuk mempamer, mengiklankan dan menjual barangan palsu tersebut.

Beliau membeli barangan tiruan daripada jenama terkenal seperti Adidas, Chanel, Goyard, Louis Vuitton, Michael Kors, The North Face, Van Cleef & Arpels, Burberry dan Prada daripada pelbagai sumber, termasuk import dari luar AS dan pembelian tempatan di Connecticut.

Antara Mac 2022 dan Mac 2023, ejen Kastam dan Perlindungan Sempadan AS merampas beberapa bungkusan antarabangsa yang mengandungi puluhan beg tangan tiruan dari Thailand, China dan Hong Kong yang dihantar ke rumahnya di New Britain.

Pada 19 Disember 2024, pihak berkuasa menjalankan serbuan berkuat kuasa mahkamah dan merampas hampir 2,000 unit barangan tiruan.

Antara barangan yang dirampas termasuk beg tangan Louis Vuitton tiruan dengan monogram multicolor kerjasama artis Jepun Takashi Murakami serta corak Jacquard LV Since 1854.

Ejen persekutuan turut menemui barang kemas Van Cleef & Arpels tiruan dengan reka bentuk berhak cipta Magic Alhambra Collection.

Siasatan dikendalikan oleh Homeland Security Investigations dengan bantuan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.

Kes ini dikendalikan oleh pembantu peguam AS, Daniel P. Gordon.

Penggunaan Facebook Live semakin popular, bukan sahaja untuk influencer dan pemuzik baru, tetapi juga dijadikan medium oleh penipu untuk menjual barangan palsu dan menjalankan penipuan lain, termasuk mencipta akaun selebriti palsu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram