
SALAH satu jenama solekan paling terkenal di dunia, Huda Beauty kini kembali dimiliki sepenuhnya oleh pengasas jenama itu, Huda Kattan, selepas beliau membeli semula pegangan saham syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS), TSG Consumer Partners.
Perkara itu menamatkan kerjasama selama lapan tahun antara kedua-dua pihak.
TSG membeli sebahagian kecil saham dalam syarikat berpangkalan di Dubai itu pada tahun 2017.
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
Huda Beauty antara jenama kecantikan paling berpengaruh di dunia. — Agensi
Dengan pembelian semula ini, Huda kembali menjadi pemilik penuh jenama yang diasaskannya pada tahun 2013 dengan pinjaman sebanyak 6,000 dolar AS (RM26,000) daripada adiknya.
Langkah ini menjadikan Huda Beauty antara sebahagian syarikat kosmetik global yang dimiliki sepenuhnya oleh pengasas asalnya.
“Memiliki semula sepenuhnya Huda Beauty adalah saat yang sangat penting buat saya,” kata Huda dalam satu kenyataan.
“Jenama ini dibina dengan semangat, kreativiti dan hasrat untuk mencabar norma industri kecantikan," tambahnya.
Perancangan produk baharu Huda Beauty
Huda yang kini bertindak sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (Co-CEO) akan menerajui syarikat bersama suaminya, Christopher Goncalo (Co-CEO) dan adiknya, Alya Kattan yang mengetuai strategi media sosial.
Dikenali dengan pelancaran produk yang menjadi tular dan pendekatan digital sebagai keutamaan, Huda Beauty muncul sebagai jenama berpengaruh dalam industri kosmetik, terutamanya di Asia Barat dan Amerika Utara.
Akaun Instagram Huda Beauty merupakan jenama kecantikan paling ramai pengikut di dunia, dengan hampir 57 juta pengikut.
Huda sendiri diiktiraf sebagai usahawan dan individu paling berpengaruh di peringkat global.
Falsafah jenamanya 'Kecantikan Dibina Sendiri' menjadi tarikan kepada pelbagai lapisan masyarakat dunia dengan fokus terhadap kepelbagaian, ketelusan dan keaslian.
Di bawah kepimpinan Huda, syarikat menghentikan penggunaan Photoshop dan penapis di media sosial serta menggalakkan standard kecantikan yang lebih realistik.
Huda yang dahulunya merupakan jurusolek dan penulis blog kecantikan memulakan jenama ini dengan produk bulu mata palsu yang laris di pusat sehenti kecantikan, Sephora, Dubai Mall.
Kini, Huda Beauty menawarkan pelbagai produk kegemaran ramai termasuk rangkaian Easy Routine serta dikenali dengan kandungan kreatif, demonstrasi solekan dan kempen kesedaran.
Langkah menjadi syarikat bebas sepenuhnya ini diambil ketika Huda Beauty sedang merancang pelancaran produk baharu dan mahu memperkukuh hubungan dengan komuniti globalnya.
Huda turut melancarkan podcast terbaharu, Huda Hotline yang menyajikan perkongsian mengenai kecantikan, keusahawanan dan pencarian diri.
Butiran lanjut tentang nilai pembelian semula saham tidak didedahkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram