Propaganda semata, serangan psikologi ubah berlian dari batu kristal biasa jadi permata paling berharga di dunia?


  • Gaya
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Walaupun kelihatan mewah, berlian sebenarnya bukanlah batu yang jarang ditemui. — Gambar hiasan/Freepik

BERLIAN sering dilihat simbol cinta sejati, kemewahan dan status, terutamanya dalam budaya moden perkahwinan.

Namun, tidak ramai menyedari bahawa nilai dan makna dikaitkan dengan batu kristal ini sebenarnya dibentuk melalui kempen pemasaran yang sangat tersusun dan berpengaruh.

Apa yang dulunya hanyalah batu mineral biasa diangkat menjadi lambang cinta abadi hasil strategi licik sebuah syarikat syarikat perlombongan dari Afrika Selatan dikenali sebagai De Beers.

BACA LAGI: Lebih 100 koleksi fesyen milik Puteri Diana dilelong, ada gaun cecah harga RM1.3 juta

BACA LAGI: Minum air sejuk boleh kecutkan rahim, bekukan susu ketika berpantang, doktor perjelas sejauh mana kebenaran mitos

Menyaring dan memproses batu permata antara tugas para pekerja De Beers pada era awal industri berlian. — Media Sosial

Strategi terancang De Beers

Segalanya bermula sekitar 1930 ketika dunia dilanda kejatuhan ekonomi.

Jualan berlian merosot teruk berikutan pengguna berhenti membeli barangan mewah.

De Beers yang memiliki stok berlian dalam jumlah besar berdepan risiko muflis apabila tiada lagi orang berminat membeli batu kristal tersebut.

Menjelang 1938, De Beers membuat keputusan penting.

Mereka melantik agensi pengiklanan N.W. Ayer untuk melaksanakan satu misi yang sangat mencabar iaitu menjadikan berlian sesuatu bukan sahaja diingini, tetapi perlu dimiliki.

Strategi yang digunakan ialah serangan psikologi.

Mereka mengaitkan berlian dengan emosi manusia yang paling mendalam iaitu cinta.

Syarikat itu mencipta gambaran bahawa berlian adalah sangat jarang dan sukar diperoleh walaupun sebenarnya ia adalah batu kristal mudah ditemui.

Mereka mempengaruhi masyarakat bahawa mereka yang menolak berlian dianggap seperti menolak cinta itu sendiri.

Impak empat perkataan

Kemuncak kempen ini berlaku pada 1947 apabila penulis iklan, Frances Gerety mencipta slogan terkenal, A Diamond Is Forever.

Beliau mungkin tidak sedar bahawa empat patah perkataan berkenaan mengubah budaya manusia di seluruh dunia.

Slogan itu menjadi simbol bahawa cinta sejati hanya sah apabila disertai dengan cincin berlian.

Kempen ini dipromosikan melalui pelbagai platform seperti filem Hollywood, majalah dan selebriti terkenal.

Lagu dinyanyikan oleh Marilyn Monroe bertajuk Diamonds Are a Girl’s Best Friend mengukuhkan lagi mesej bahawa berlian merupakan sesuatu yang wajib untuk membuktikan cinta sejati.

Pada ketika itu, jika seseorang tidak memberikan cincin berlian, cinta mereka dianggap tidak lengkap.

De Beers juga mencipta satu ‘peraturan’ yang menyatakan bahawa lelaki perlu membelanjakan dua bulan gaji untuk membeli cincin pertunangan.

Dengan soalan promosi seperti “bagaimana dua bulan gaji dapat bertahan selama-lamanya?”, mereka meletakkan nilai cinta berdasarkan harga.

Berlian merupakan batu biasa diangkat jadi lambang cinta abadi hasil kempen pemasaran global. — Gambar hiasan/Freepik

Kesan global

Kesan daripada kempen ini sangat luar biasa. Pada 1940, hanya 10 peratus pengantin perempuan menerima cincin berlian.

Namun menjelang 1990, peratusan itu meningkat kepada 80 peratus.

Dalam tempoh beberapa dekad sahaja, De Beers berjaya menukar pemahaman masyarakat tentang cinta dan perkahwinan melalui pemasaran semata-mata.

Kejayaan ini turut mencetuskan lonjakan keuntungan syarikat.

Pada 1939, jualan De Beers bernilai AS$23 juta (RM107 juta) dan meningkat kepada AS$2.1 billion (RM8 bilion) pada 1979.

Semua ini berlaku hasil daripada keinginan yang dicipta dan bukan keperluan sebenar.

De Beers juga mengawal pasaran dengan menyimpan stok berlian secara besar-besaran untuk mencipta kekurangan buatan.

Pada masa sama, mereka membanjiri media dengan mesej romantik agar berlian kelihatan sangat berharga walaupun ia sebenarnya bukan sesuatu yang jarang ditemui.

Tradisi ini merebak ke seluruh dunia.

Dari AS ke Eropah dan seterusnya ke Asia, budaya berlian adalah cinta diterima oleh pelbagai bangsa dan agama.

Apa yang bermula sebagai strategi pemasaran, sebuah syarikat kini menjadi budaya diikuti masyarakat global.

'Ilusi' masih hidup

Hari ini, kepercayaan yang direka itu masih berterusan.

Pasangan di seluruh dunia terus membelanjakan jumlah wang yang besar setiap tahun untuk membeli batu kristal.

Janji selamanya digunakan untuk menjual emosi yang bersifat sementara. De Beers berjaya menukar pemasaran kepada tingkah laku manusia.

Inilah antara kejayaan terbesar dalam dunia pemasaran.

Mereka berjaya menjadikan sesuatu yang tidak penting kelihatan seperti keperluan, sesuatu yang mudah ditemui kelihatan rare dan membuatkan cinta terasa tidak sempurna tanpa pembelian berlian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram