PENYAKIT jantung terus menjadi antara punca kematian utama di dunia, malah jumlah kes serangan jantung dilihat semakin meningkat, termasuk dalam kalangan individu yang masih muda.
Terbaharu, seorang doktor mendedahkan hingga 90 peratus kes serangan jantung dikaitkan dengan satu tabiat pagi yang sering dipandang remeh, meskipun ia bukan berkaitan pemakanan atau tekanan emosi.
Doktor perubatan am, Dr Sana Sadoxai berkata, risiko tersebut sebenarnya bermula seawal seseorang bangun daripada tidur, khususnya apabila tubuh dibiarkan terlalu lama tanpa sebarang pergerakan.
Menurutnya, rutin pagi yang pasif memberi kesan besar terhadap kesihatan jantung dalam jangka panjang.
“Bahaya sebenar bermula apabila seseorang bangun tidur dan terus kekal tidak aktif,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan individu mempunyai rutin pagi yang hampir sama iaitu bangun tidur lalu terus memegang telefon bimbit, duduk atau berbaring terlalu lama sebelum bersiap dan seterusnya keluar bekerja tanpa melakukan sebarang aktiviti fizikal.

Mulakan hari dengan senaman ringan selama 5 hingga 7 minit untuk melancarkan peredaran darah dan melindungi kesihatan jantung. — Gambar hiasan
Keadaan ini menyebabkan tubuh berada dalam fasa kurang bergerak dan meningkatkan tahap keradangan dalam badan.
Dalam jangka masa panjang, tabiat tersebut boleh mempercepatkan rintangan insulin, menyumbang kepada pengumpulan lemak di bahagian perut, meningkatkan tekanan darah serta mencetuskan gangguan metabolisme.
Kesemua faktor ini, jelasnya, saling berkait dan secara signifikan meningkatkan risiko serangan jantung, khususnya dalam kalangan individu yang mengalami berat badan berlebihan.
Bagaimanapun, Dr Sadoxai menegaskan risiko tersebut boleh dikurangkan dengan perubahan kecil pada rutin harian.
Menurutnya, hanya dengan melakukan aktiviti fizikal ringan selama lima hingga tujuh minit setiap pagi sudah mencukupi untuk memberi kesan positif kepada kesihatan jantung.
Aktiviti seperti berjalan pantas, melakukan regangan badan atau latihan pernafasan bukan sahaja membantu melancarkan aliran darah, malah mengaktifkan metabolisme, menstabilkan paras gula dalam darah dan mengurangkan risiko keradangan.
“Berat badan, metabolisme dan kesihatan jantung saling berkait rapat.
"Mengabaikan rutin pagi yang aktif merupakan ancaman tersembunyi, namun mengubahnya boleh memberi perlindungan jangka panjang terhadap jantung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar peka terhadap tanda awal gangguan metabolisme seperti obesiti, mudah sesak nafas, diabetes serta keletihan berpanjangan kerana simptom ini sering muncul tanpa disedari.
Gejala, pencegahan
Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS), serangan jantung atau infark miokard berlaku apabila aliran darah ke jantung tersekat, lazimnya akibat pembentukan darah beku.
Antara gejala paling biasa ialah sakit dada seperti ditekan, rasa berat atau sesak, selain sakit yang merebak ke lengan, rahang, leher, belakang atau perut.
Tanda lain termasuk pening, peluh sejuk, sesak nafas, loya serta rasa cemas melampau.
Bagi mengurangkan risiko serangan jantung, orang ramai disarankan berhenti merokok, mengekalkan berat badan ideal, mengamalkan pemakanan seimbang rendah lemak dan tinggi serat serta melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.
Orang dewasa digalakkan melakukan senaman berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu bagi mengekalkan kesihatan jantung yang optimum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
