[VIDEO] 'Babah, mami tak sabar bertemu kalian', anak pengasas Dnars Skincare hamil bayi kembar, syukur rezeki berganda


  • Cinta
  • Khamis, 18 Dis 2025

Irdina Hakim Jasman dan Farez Zuhaily bakal menimang anak kembar yang kedua-duanya lelaki.

ANAK kepada pengasas kosmetik Dnars Skincare, Irdina Hakim Jasman berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak kembar.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Irdina memuat naik beberapa keping gambar memaparkan dirinya yang sedang sarat mengandung selain momen romantik bersama suami tercinta.

Dalam kapsyen berkenaan, Irdina menyifatkan kehamilan itu sebagai hadiah paling bermakna yang diterimanya pada tahun ini.

“Hadiah terbaik yang saya terima tahun ini adalah dua nyawa yang sedang membesar dalam rahim saya. Keajaiban besar kami bakal tiba. Babah dan Mami tidak sabar untuk bertemu kalian berdua,” tulisnya.

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

BACA LAGI: Tak jadi nikah sebab tunang positif HIV, lelaki buntu cara nak minta pulangkan wang hantaran, berikut penjelasan peguam syarie

Irdina turut mengesahkan beliau bakal menimang anak kembar yang kedua-duanya lelaki, sekali gus meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.

“Yeayy, lepas ini Mami ada tiga pengawal peribadi. Ya, kembar lelaki! Alhamdulillah atas rezeki ini. Mami dan babah sangat menyayangi kalian berdua,” katanya.

Dalam hantaran sama, Irdina tidak lupa merakamkan penghargaan buat suaminya, Farez Zuhaily atas kejutan, sokongan, masa serta penganjuran majlis baby shower yang cukup bermakna buat mereka.

Menerusi hantaran lain pula, Irdina berkongsi suasana majlis baby shower yang berlangsung meriah dengan kehadiran ramai tetamu.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai juadah, dekorasi cantik, hiasan belon serta elemen asap yang mencuri perhatian.

Ketika sesi pendedahan jantina bayi pada majlis itu, Irdina mendedahkan dia pada awalnya berharap dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, manakala suaminya pula menginginkan anak lelaki.

“Saya berharap seorang lelaki dan seorang perempuan, tetapi suami memang berharap lelaki. Rupanya dua-dua lelaki. Alhamdulillah, apa yang penting mereka sihat dan lahir cukup bulan,” katanya.

Di ruangan komen, perkongsian tersebut menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan pengikut media sosial.

"Selamat dan bahagia selalu kalian," kata pelakon, Nur Fazura.

"Tahniah seronoknya dapat kembar," kata isteri kepada Datuk Alif Syukri, Nur Shahida Mohd Rashid.

Untuk rekod, Irdina merupakan anak kepada pengasas Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, yang dikenali sebagai antara usahawan berjaya dalam industri kosmetik tempatan.

Beliau dan suami diijabkabulkan pada 25 April 2025 di Tumpat, Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram