JENAMA Zara menjadi peruncit fesyen segera terkini yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej model sebenar mengenakan pakaian berbeza, sekali gus mempercepatkan proses pengeluaran sebagai sebahagian daripada perubahan industri yang berpotensi memberi impak besar kepada fotografi fesyen.
Langkah Zara itu mengikuti jejak pesaingnya dari Sweden, H&M, yang awal tahun ini mengumumkan penciptaan 'klon AI' model untuk tujuan pemasaran.
Peruncit fesyen dalam talian Eropah, Zalando juga menggunakan AI untuk mempercepatkan penghasilan imej.
BACA LAGI: Tampil kelainan, pelawak Indonesia beri saham GOTO sebagai mas kahwin
"Kami hanya menggunakan AI sebagai pelengkap kepada proses sedia ada.
"Kami bekerjasama dengan model yang dihargai, semua aspek dipersetujui bersama dan memberi pampasan mengikut amalan terbaik industry," kata jurucakap Inditex, pemilik Zara dalam satu kenyataan.
Laporan pertama mengenai langkah Zara ini diterbitkan oleh akhbar perniagaan London, CityAM, yang memetik seorang model tanpa nama berkata, Zara meminta kelulusan untuk menyunting imej mereka menggunakan AI bagi mempamerkan pakaian berbeza dan mereka dibayar sama seperti sekiranya melakukan sesi fotografi lain.
H&M dan Zalando, seperti Inditex, menegaskan AI hanya akan melengkapkan proses pasukan kreatif mereka dan membantu meningkatkan kecekapan tanpa menggantikan tenaga kerja sedia ada.
Ini sekali gus menenangkan kebimbangan pengarah fotografi dan pasukan produksi yang terlibat dalam penggambaran fesyen.
Anak pengasas Amancio Ortega yang juga Pengerusi Inditex, Marta Ortega pernah berkongsi minatnya terhadap fotografi fesyen dalam temu bual.
Sejak 2021, galeri yayasannya, MOP (Marta Ortega Perez) di A Coruna, Sepanyol menampilkan pameran hasil kerja jurugambar terkenal.
Kini galeri itu mempamerkan fotografi fesyen Annie Leibovitz, manakala pameran sebelumnya menampilkan nama besar seperti Steven Meisel yang pernah bekerjasama rapat dengan Zara dan Helmut Newton.
Ortega turut berusaha menjenamakan Zara ke arah pasaran lebih mewah dengan mengurangkan bilangan kedai, menumpukan kepada beberapa kedai utama bersaiz besar dengan suasana lebih luas dan sofistikated.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Jurugambar London, Isabelle Doran berkata, penggunaan AI dijangka mengurangkan jumlah tugasan untuk jurugambar, model dan pasukan produksi, memberi kesan kepada seluruh ekosistem profesional fesyen termasuk jurugambar muda yang baru mencuba nasib dalam industri ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
