SEBUAH mahkamah juri di Amerika Syarikat mengarahkan syarikat gergasi farmaseutikal, Johnson & Johnson (J&J), membayar pampasan berjumlah $65.5 juta (kira-kira RM288.2 juta) kepada seorang wanita yang mendakwa produk bedak talkum syarikat itu menjadi punca beliau menghidap kanser.
Keputusan yang dijatuhkan pada Jumaat lalu itu memihak kepada plaintif, Anna Jean Houghton Carley, 37, seorang ibu kepada tiga cahaya mata.
Beliau mendakwa pendedahan berterusan terhadap produk berasaskan talcum keluaran J&J sejak kecil telah menyebabkan beliau menghidap mesothelioma, iaitu sejenis kanser agresif yang menjejaskan lapisan paru-paru.
BACA LAGI: Gelaran Miss Finland ditarik lepas muat naik gambar hina orang Asia
BACA LAGI: Kajian rungkai 'misteri' mengapa wanita sering sakit perut berbanding lelaki
Mesothelioma merupakan penyakit yang secara saintifiknya sering dikaitkan dengan pendedahan kepada asbestos, sejenis bahan karsinogen yang berbahaya kepada manusia.
Sepanjang perbicaraan selama 13 hari di Mahkamah Daerah Ramsey County, Amerika Syarikat barisan peguam Carley berhujah bahawa J&J tetap memasarkan produk tersebut kepada pengguna walaupun menyedari terdapat risiko pencemaran asbestos.
Pihak plaintif turut menegaskan bahawa syarikat itu gagal memberi sebarang amaran kepada ibu bapa mengenai potensi bahaya produk berkenaan.
"Kes ini bukan sekadar mengenai pampasan semata-mata. Ia adalah mengenai usaha mencari kebenaran dan menuntut akauntabiliti," ujar peguam mangsa, Ben Braly dalam satu kenyataan selepas keputusan diumumkan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Litigasi Global J&J, Erik Haas, menegaskan syarikat tersebut akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Beliau mempertahankan bahawa bedak bayi keluaran mereka adalah selamat, tidak mengandungi asbestos, dan tidak menyebabkan kanser.
Haas turut menyifatkan siri saman tersebut sebagai berlandaskan "sains sampah" (junk science) dan mendakwa kajian selama berdekad-dekad membuktikan keselamatan produk mereka.
Untuk rekod, J&J telah menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talcum di Amerika Syarikat pada 2020, sebelum menamatkan penjualannya secara global pada 2023.
Langkah itu diambil susulan ribuan tuntutan mahkamah yang mengaitkan produk talcum dengan penyakit kanser ovari dan mesothelioma.
Keputusan di Minnesota itu menyusul selepas beberapa siri kekalahan undang-undang J&J baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
