ISU pertukaran hadiah (exchange gift) di sekolah sekali lagi mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan ibu bapa, selepas ada individu berharap amalan tersebut tidak dijadikan kebiasaan.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, seorang wanita, Amelia Aminn berpendapat dengan mengadakan jamuan makan bersama sudah memadai berbanding pertukaran hadiah disifatkan membebankan ibu bapa, terutama mereka yang kurang berkemampuan.
“Tak semua parents berduit,” tulisnya ringkas, namun membuka ruang perkongsian pengalaman ramai ibu bapa lain.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai kisah dikongsikan dengan ada juga yang meninggalkan parut emosi sehingga ke besar.
Seorang ibu, Nurashikin Din berkata, pihak sekolah anaknya juga membatalkan aktiviti pertukaran hadiah bagi mengelakkan rasa tidak adil.

Nurashikin Din mengambil inisiatif menghadiahkan satu kelas anaknya hadiah sempena akhir tahun.
Namun, beliau mengambil inisiatif sendiri menghadiahkan satu kelas hadiah sempena akhir tahun.
“Seronok tengok semua senyum dapat hadiah,” katanya.
Bagi Norfaraain pula, pengalaman anaknya yang baru sahaja darjah enam cukup memberi kesan mendalam.
Hadiah yang dibeli dengan bajet bawah RM30 digantikan dengan plastik kecil berisi jajan.
Namun, respon anaknya membuatkan si ibu sebak.
“Abang faham sebab kawan abang tu bukan orang senang,” kata anaknya yang berasa empati.
Namun, tidak semua pengalaman berakhir manis. Seorang pengguna, Azzackzelittlemonster mengaku masih mengingati rasa kecewa sewaktu darjah enam apabila hadiah yang diterima hanyalah pensel dan pemadam dari koperasi, walaupun beliau bersungguh-sungguh memilih hadiah terbaik untuk orang lain.
“Saya pilih hadiah comel-comel untuk orang lain tetapi saya dapat hadiah pensel dengan pemadam dari koperasi je.Sampai sekarang saya tak pernah lupa rasa tak puas hati tu,” luahnya yang kini sudah berusia 31 tahun.
Pengalaman hampir sama dikongsikan Azian Khalil yang menerima mi segera remuk sebagai hadiah ketika di tingkatan lima.
“Aku gigih beli benda elok, tapi dapat megi yang dah jadi bola,” katanya.
Bagi Sheda Halim, kekecewaan anak-anaknya selepas membuka hadiah yang tidak setimpal walaupun had minimum RM20 ditetapkan guru, membuatkan beliau berpendapat aktiviti tersebut lebih banyak membawa kecewa berbanding kegembiraan.
Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang melihat penyelesaian lebih adil dan praktikal.
Sheriah Adam berkongsi pendekatan guru di sekolah anaknya yang terlebih dahulu mendapatkan persetujuan ibu bapa.
Katanya, dengan kutipan RM10 seorang, guru membeli set makanan segera lengkap dengan hadiah kecil untuk setiap murid.
“Anak-anak gembira, cikgu gembira, mak bapa pun tenang sebab semua dapat sama rata,” katanya.
Seorang lagi ibu, Teemy juga bersetuju bahawa jamuan makan bersama lebih bermakna kerana tidak semua murid berpeluang menikmati makanan sedap setiap hari.
“Bila buat exchange gift, yang tak mampu akan rasa terpinggir,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
