Hilang sejak 2006, rangka wanita warga Poland ditemukan dalam kawasan semak di England


  • Bonda
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Malgorzata dilaporkan hilang pada tahun 2006 ketika berusia 27 tahun. — Agensi

RANGKA seorang wanita warga Poland yang dilaporkan hilang hampir 20 tahun lalu ditemukan di kawasan semak.

Mangsa, Malgorzata Wnuczek yang menetap di Leicester, dilaporkan hilang pada 31 Mei 2006 ketika berusia 27 tahun.

Beliau menghilang selepas berpisah dengan suaminya yang juga bapa kepada anak perempuannya berusia enam tahun dan tidak pernah ditemui sejak itu.

BACA LAGI: Mahu suami lihat rupa sebenar, wanita 'berani' tampil tanpa mekap pada hari perkahwinan

BACA LAGI: Kuatkan tangan antara 5 tip ibu bapa perlu ambil kira sebelum anak usia 3 tahun hantar ke tadika

Malgorzata meninggalkan seorang anak perempuan. — Agensi

Polis Leicestershire memaklumkan pada Oktober lalu, rangka manusia ditemukan di kawasan semak berhampiran Great Central Way, dekat Watkin Road.

Rangka tersebut kemudian dihantar untuk ujian forensik.

Malgorzata kali terakhir dilihat menaiki bas dari tempat kerjanya di Peter Jackson Logistics, Sunningdale Road, Leicester menuju ke pusat bandar.

Hubungan terakhirnya dengan ahli keluarga yang memanggilnya dengan nama panggilan Gosia adalah melalui mesej teks dua hari sebelum kehilangannya.

Pada Jun 2023, susulan maklumat daripada polis Poland, operasi pencarian dijalankan di Sungai Soar, antara jambatan Mill Lane dan Upperton Road.

Polis turut memaklumkan seorang lelaki berusia 39 tahun pernah ditahan di kawasan Greater Manchester atas syak membantu pesalah dan menghalang proses keadilan, namun dibebaskan tanpa tindakan lanjut.

Polis kini sedang menyediakan laporan untuk diserahkan kepada koroner.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa, Detektif Superintenden Jenni Greenway berkata, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Malgorzata.

Menurutnya, walaupun penemuan itu menamatkan hampir 20 tahun ketidakpastian mengenai keberadaan Malgorzata, ia tidak bermakna kesedihan keluarga akan berakhir atau terubat sepenuhnya.

Siasatan mengenai kematian Malgorzata masih dibuka dan sedang diteruskan.

Polis juga masih berhubung dengan pihak berkuasa Poland dan terus bekerjasama bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada mangsa.

Beliau menegaskan, masih belum terlambat untuk tampil membantu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram