Kuatkan tangan antara 5 tip ibu bapa perlu ambil kira sebelum anak usia 3 tahun hantar ke tadika


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Latihan menulis membantu menguatkan tangan anak sebelum melangkah masuk ke tadika. — Gambar hiasan/Freepik

MEMASUKI alam tadika merupakan langkah penting dalam perkembangan awal anak-anak, terutamanya bagi mereka yang berusia tiga tahun.

Pada usia ini, anak sedang berada dalam fasa penemuan diri, membina kemahiran sosial dan mula memahami persekitaran di sekeliling.

Persiapan yang betul daripada ibu bapa boleh membantu anak menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan positif, sekali gus memudahkan proses pembelajaran di tadika kelak.

BACA LAGI: Selagi belum kaya jangan buat 3 perkara ini, ramai terjebak point 'last' — Dr. Adam Zubir

BACA LAGI: [VIDEO] 'Babah, mami tak sabar bertemu kalian', anak pengasas Dnars Skincare hamil bayi kembar, syukur rezeki berganda

Seorang bekas guru tadika berkongsi lima tip utama yang ibu bapa perlu tahu sebelum anak usia tiga tahun melangkah ke tadika menerusi hantaran di Threads beliau:

1. Jangan kejar akademik terlalu awal

Menurutnya, anak berusia tiga tahun belum perlu mahir membaca atau menulis.

Fokus utama pada usia ini adalah memastikan anak tidak takut pada buku dan mula menunjukkan minat untuk belajar.

2. Fokus pada 3 asas 'wajib'

Sebelum memasuki tadika, ibu bapa perlu memastikan anak mengenal beberapa huruf, nombor 1 hingga 10 dan mampu memegang pensel atau crayon dengan betul.

Kemahiran asas ini membantu anak lebih mudah mengikuti pelajaran di tadika dan membina asas untuk pembelajaran seterusnya.

3. Kuatkan tangan

Kekuatan tangan memainkan peranan penting dalam kebolehan menulis dan mengendalikan alat tulis.

Anak dengan tangan yang lemah mudah cepat penat, malas menulis dan cepat berasa kecewa.

Aktiviti seperti menconteng, koyak kertas, tampal pelekat atau melukis garis disyorkan bagi menguatkan otot tangan mereka.

Anak usia tiga tahun perlu dibiasakan dengan rutin harian bersama ibu bapa sebelum masuk ke tadika. — Gambar hiasan/Janaan AI

4. Biasakan dengan rutin ringkas

Anak usia tiga tahun perlu dibiasakan dengan rutin harian mudah seperti duduk selama lima hingga 10 minit, mendengar arahan mudah, menyimpan barang sendiri dan menunggu giliran.

Latihan rutin ini penting untuk memudahkan anak menyesuaikan diri dengan jadual harian tadika dan interaksi bersama rakan sebaya.

5. Belajar melalui bermain

Pada usia tiga tahun, anak belajar paling berkesan melalui aktiviti interaktif.

Cara pembelajaran yang sesuai termasuk bermain, mewarna, tampal, melukis serta sentuh dan cuba sendiri.

Jika anak mudah hilang fokus, ia bukan kerana malas, tetapi kerana cara pembelajaran tidak sesuai dengan tahap perkembangan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram