PENYANYI tersohor Indonesia dan Perancis, Anggun mendedahkan beliau tidak pernah menjalani rawatan botoks atau suntikan filler walaupun kini sudah mencecah usia 51 tahun.
Perkara itu dikongsikan oleh pemilik nama sebenar Anggun Cipta Sasmi ketika menjadi tetamu dalam sebuah rancangan pod siar, sekali gus mencuri perhatian ramai apabila penampilannya disifatkan tidak banyak berubah sejak awal kemunculan dalam industri muzik.
"Terus terang umur saya sekarang 51 tahun dan tidak pernah pakai botoks, tidak pernah pakai filler," katanya secara terbuka dalam rancangan tersebut.
BACA LAGI: Elak anak meragam, sentiasa selesa berada di tempat awam, bapa amalkan kaedah 'safe space'
Menurut pelantun lagu Snow On The Sahara itu, rahsia utama kekal awet muda bukan terletak pada rawatan kosmetik semata-mata, sebaliknya bermula daripada kebahagiaan dan kesejahteraan dalaman seseorang.
"Rahsia pertama bagi saya ialah kebahagiaan diri. Bagi saya, benar-benar dari dalam itu yang paling utama," ujarnya.
Tambah beliau yang kini menetap di Perancis penggunaan produk penjagaan kulit yang sesuai turut membantu, namun ia bukan faktor utama.
"Yang kedua, kita memang perlu dibantu dengan krim atau penjagaan kulit yang tepat.
"Tapi kalau tengok, solekan saya pun tidak tebal. Minimal sahaja. Saya suka sesuatu yang sangat praktikal," jelas isteri kepada jurugambar profesional, Christian Kretschmar.
Anggun turut menegaskan, kecantikan sebenar tidak terletak pada wajah semata-mata, sebaliknya pada pemikiran dan keperibadian seseorang.
"Bagi saya, bukan muka tapi isinya, isi kepala. Satu-satunya yang aku ubah daripada penampilan cuma gigi. Yang lain tidak," katanya.
Malah, ibu kepada seorang putri itu turut menanam nilai tersebut kepada anaknya agar tidak terlalu terikat dengan penampilan luaran.
"Aku selalu beritahu anak aku, kamu itu cukup. Bagi aku, keperibadian itu nombor satu. Ilmu lebih nombor satu," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
