Muntah, terbuang air besar di restoran, anak tak kisah bersihkan, kenang pengorbanan bapa lebih besar


  • Cinta
  • Rabu, 17 Dis 2025

Zahir Alauddin berkongsi detik menguruskan bapanya yang sudah lanjut usia.

KADANGKALA, ibu bapa sering bimbang menyusahkan anak, walhal mereka sendiri yang sudah banyak berkorban sepanjang kita membesar. 

Itulah diluahkan oleh Zahir Alauddin dalam hantaran video di TikTok baru-baru ini apabila beliau membersihkan pakaian bapanya selepas tidak sengaja termuntah dan terbuang air besar di restoran. 

"Alamak, Din, maaf la abah susahkan," kata bapanya. 

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

BACA LAGI: 'Childhood' trauma boleh merosakkan hubungan, Ustazah Nazirah kongsi cara rawat jiwa

Mendengar perkataan itu, Zahir menenangkan bapanya dengan mengingatkan bahawa hal itu sama sekali tidak menyusahkannya.

Bagi Zahir, mengurus orang tua yang sudah lanjut usia tidak berbeza dengan mengurus anak-anak sendiri. 

"Takat terkucil macam ni, apa lah sangat nak dibandingkan dengan waktu ibu ayah besarkan kita dulu dari kecik sampai besar, dengan macam-macam ragam kita ni sampai dah besar panjang masuk universiti, takde sikit pun dorang merungut kan," katanya. 

Zahir juga berkongsi kisah pengorbanan bapanya sewaktu beliau masih di kampus. 

Katanya, dahulu, beliau pernah terlepas bas untuk balik ke kampus, namun bapanya tetap gigihnya menghantarnya seorang diri dari Ampang, Selangor ke Perak. 

Zahir berkata, bapanya bertindak sedemikian agar dirinya tidak terlepas kelas keesokan paginya. 

"Nangis aku," katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, kisah Zahir mendapat perhatian ramai anak yang pernah berdepan isu sama.

"Dua benda saya tak suka parents ucap, Maaf dan terima kasih," kata Fiza. 

Nur Izati pula mengimbau detik-detik membantu ibunya tanpa rasa jijik kerana kasih sayang melebihi segalanya.

"Dia ingatkan saya dengar arwah ibu. Pernah najis jatuh dari stoma bag arwah mama masa pergi ke tandas. Time tu tiada rasa jijik kutip najis sebab perasaan kesian kat mak sendiri tu lagi besar. Diorang pun tak mintak nak susahkan anak," katanya. 

Adam Rizqy berkongsi pengalaman yang membuatnya menangis teresak-esak, tetapi pada masa sama mensyukuri peluang berbakti itu sebagai pahala terbesar dalam hidupnya. 

"Saya pernah ada pengalaman macamni. Saya menangis sebab saya rasa Allah Taala maha baik beri saya peluang bersihkan. Seumur hidup saya, saya rasa itulah pahala terbesar yang saya pernah ada agaknya dalam hidup saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram