Kanak-kanak Sarawak pertama 'pukau' panggung opera di Paris, Taylor raih dua anugerah antarabangsa


  • Sukses
  • Selasa, 16 Dis 2025

Bakat muda Sarawak, Taylor Louise mencipta sejarah dengan persembahan dan dua anugerah antarabangsa di Paris. — Instagram/@taylorlouisebb, Jacqueline Chang

PADA usia 11 tahun, bakat muzik muda Sarawak, Taylor Louise mencipta sejarah sebagai satu-satunya rakyat Malaysia berpeluang membuat persembahan di Studio Opéra Bastille, Paris pada 12 Disember lalu.

Memetik laporan The Borneo Post, Taylor turut berjaya merangkul dua anugerah antarabangsa, termasuk Hadiah Khas Bakat Muda Luar Biasa di Pertandingan Muzik Antarabangsa Paris iaitu Hadiah Utama Virtuoso.

Beliau juga memenangi tempat pertama dalam kategori pop (umur 10–12 tahun), sekali gus menandakan pencapaian berganda di pertandingan antarabangsa tersebut.

BACA LAGI: 'Perfect dan profesional', wedding planner Erra Fazira dipuji pandai kawal situasi, jelas beri arahan

BACA LAGI: Adakah suplemen tumbesaran keperluan utama kanak-kanak? Ini penjelasan, panduan pakar untuk ibu bapa

Majlis penyampaian anugerah dan persembahan berlangsung di Studio Opera Bastille, sebuah lokasi berprestij yang sering menjadi pentas bagi artis muda antarabangsa.

Semasa persembahannya, Taylor membawakan lagu From The Start karya artis jazz-pop berdarah Iceland - Cina, Laufey, mempamerkan kepelbagaian vokal serta kepekaan muzik beliau.

Selepas persembahan, Taylor menerima pujian hangat daripada penganjur dan penonton dengan ramai yang menyifatkan beliau sebagai salah seorang kegemaran penonton pada malam itu kerana keyakinan di atas pentas dan penyampaian penuh perasaan.

Pelawaan Taylor untuk beraksi di Paris adalah hasil daripada keputusan cemerlangnya dalam pertandingan tersebut, yang mana beliau menjadi tumpuan dalam kalangan peserta dari pelbagai negara kerana bakat dan potensi luar biasa pada usia muda.

Dalam kenyataannya selepas acara itu, Taylor mengucapkan terima kasih kepada keluarga, guru dan penyokongnya di tanah air.

"Saya sangat bersyukur atas semua sokongan yang diterima. Satu penghormatan dapat mewakili Sarawak dan Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram