SEMAKIN ramai lelaki berasal Korea Selatan kini memilih untuk berhijrah ke Jepun bukan sahaja untuk mencari pekerjaan, tetapi juga untuk membina keluarga.
Mereka tertarik dengan kehidupan yang lebih santai dan jangkaan perkahwinan yang kurang membebankan berbanding di Korea Selatan.
Menurut laporan Shueisha Online, bilangan rakyat Korea Selatan yang bekerja atau menetap di Jepun meningkat daripada 69,000 pada 2020 kepada 75,000 pada 2024 iaitu peningkatan kira-kira 8 peratus dalam tempoh empat tahun.
BACA LAGI: 'Childhood' trauma boleh merosakkan hubungan, Ustazah Nazirah kongsi cara rawat jiwa
Trend ini mencerminkan rasa kecewa golongan muda Korea Selatan terhadap pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif, yang membuat ramai melihat peluang di luar negara sebagai pilihan terbaik.
Salah seorang yang menjadi contoh ialah Choi Geon-woo yang berusia 34 tahun.
Beliau menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan hotel dan pernah memohon kerja di beberapa hotel mewah di Seoul sebelum menghabiskan masa di Australia melalui program bekerja sambil bercuti.
Pada 2019, beliau mendapat pekerjaan di Jepun dan kini bekerja di sebuah syarikat hartanah.
“Di Korea, saya memohon di 10 hotel mewah tetapi hanya diterima satu. Banyak tempat memerlukan skor ujian bahasa Inggeris yang tinggi, malah ada yang menekankan ketinggian lelaki. Ditambah pula kerja yang panjang dan gaji rendah, akhirnya saya putuskan untuk berhijrah,” kata Choi.
Beliau berasakan kehidupan di Jepun jauh berbeza berbanding di negaranya.
“Gajinya hampir sama, tetapi syarikat Jepun menghormati masa peribadi. Tiada panggilan atau mesej selepas waktu kerja atau pada hujung minggu. Setelah terbiasa, memang sukar untuk kembali ke Korea," katanya.
Selain peluang pekerjaan, semakin ramai lelaki Korea Selatan berkahwin dengan wanita Jepun.
Statistik Korea menunjukkan sebanyak 1,176 perkahwinan direkodkan tahun lalu iaitu meningkat 40 peratus berbanding tahun sebelumnya dan paras tertinggi sejak 2015.
Menurut pakar, lelaki Korea memilih Jepun kerana jangkaan perkahwinan di sana lebih fleksibel dan kurang membebankan dari segi kewangan.
Tambahan pula, pengalaman perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea dilihat positif oleh masyarakat Jepun kerana menonjolkan tanggungjawab dan disiplin.
Populariti K-pop dan drama Korea juga meningkatkan imej lelaki Korea di mata wanita Jepun.
Dengan minat yang semakin meningkat, Jepun dan Korea Selatan kini perlu membina lebih banyak pemahaman antara satu sama lain bagi menyokong trend migrasi dan perkahwinan ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
