Pesan orang tua jadi pegangan, suami kongsi hikmah pilih rumah berhampiran masjid, tempat kerja isteri


  • Cinta
  • Ahad, 14 Dis 2025

Pemilihan rumah bukan sekadar lokasi, tetapi juga kesejahteraan dan sokongan orang sekeliling. — Gambar hiasan/Janaan AI

BAGI kebanyakan pasangan, pemilihan rumah selepas berkahwin sering tertumpu kepada soal harga, keluasan dan kemudahan sekitar.

Namun, bagi seorang lelaki, keputusan memilih tempat tinggal dibuat berasaskan satu pesan orang tua yang dianggap ringkas, tetapi memberi kesan besar dalam kehidupan rumah tangganya.

Menerusi perkongsian di Threads, lelaki berkenaan menceritakan bagaimana ibunya berpesan supaya memilih rumah sama ada untuk disewa atau dibeli yang terletak berhampiran masjid serta dekat dengan tempat kerja isteri.

BACA LAGI: 'Kawan sekerja, kawan sebantal', Sweet dan suami julang trofi ABPBH, mahu terus berkarya kualiti

BACA LAGI: Mengapa keseronokan beli-belah buat orang cemas, bersalah? Ini sebabnya...

"Dulu mak saya pesan, kalau dah kahwin nanti, nak cari rumah untuk duduk dengan isteri, carilah yang dekat dengan masjid dan dekat dengan tempat kerja isteri," tulisnya.

Menurutnya, dua panduan itu dijadikan pegangan ketika memilih rumah dan selepas menetap, pelbagai kebaikan mula dirasai, termasuk perkara yang tidak pernah disangka sebelum ini.

Mengulas tentang tinggal berhampiran masjid, dia berkata, walaupun pada awalnya berasa kekok dan janggal tinggal di kawasan perumahan baharu, masjid menjadi ruang penting untuk membina hubungan kejiranan.

"Dua hingga tiga hari pertama saya kekok dan janggal duduk di taman perumahan baharu.

"Tapi melalui orang-orang di masjidlah saya kenal dengan jiran-jiran sekeliling. Alhamdulillah, mudah sangat masuk dengan kejiranan," katanya.

Tambahnya, sokongan jiran jelas dirasai ketika isterinya hampir melahirkan anak.

"Belum keluar hospital lagi orang masjid dah siap-siap bagi cangkul, tunjuk tanah yang sesuai untuk tanam uri," ujarnya.

Dalam satu lagi perkongsian, beliau menyentuh perasaan tenang apabila azan dapat didengari terus dari rumah.

“Bunyi azan kedengaran dari tingkap rumah. Rasa tenang dan selamat, macam berada dalam radius berkat masjid,” katanya, sambil menambah dia lebih yakin meninggalkan isteri dan anak di rumah.

Selain faktor masjid, tinggal dekat dengan tempat kerja isteri turut disifatkan memberi banyak kelebihan.

Menurutnya, pesanan itu sering didengari, namun hikmahnya hanya benar-benar difahami selepas melalui sendiri pengalaman tersebut.

“Bila dah lalui, baru nampak hikmahnya,” katanya.

Jelasnya, jarak kerja yang dekat membantu isteri mengurus urusan rumah tangga tanpa tekanan tambahan.

"Balik kerja dah penat, tak perlu hadap jem. Tak tergesa-gesa, lebih selamat. Suami pun tak risau sangat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram