SEORANG lelaki tampil di balai polis di Seberang Jaya dekat Butterworth, Pulau Pinang pada Jumaat untuk memaklumkan kematian isterinya sebelum tindakan itu membongkarkan rahsia bahawa wanita tersebut dipercayai mati dibunuh sejak empat hari lalu.
Menurut laporan Harian Metro, mayat wanita terbabit disimpan di bilik belakang rumah yang didiami pasangan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna dengan terdapat kesan kelar pada leher dipercayai akibat senjata tajam.
Difahamkan, suami wanita berkenaan yang berusia 28 tahun itu hadir seorang diri ke balai polis dan mengaku berlaku kematian di rumah mereka.
BACA LAGI: Suami kelar isteri sebelum cederakan diri sendiri di Sungai Ara
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas kelar sampai mati, pemuda sempat mandikan mayat, jemur pakaian terakhir isteri

Mayat wanita itu ditemui dengan kesan kelar di leher.
Sepasukan polis kemudian bergegas ke rumah terbabit sebelum menemukan mayat wanita berusia 44 tahun dan membuat tangkapan terhadap suspek yang juga penganggur untuk siasatan lanjut.
Mangsa yang mempunyai lima anak hasil perkahwinan sebelum ini dikatakan baru dua tahun mendirikan rumah tangga dengan suspek.
Suspek difahamkan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah dengan pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
