SYURGA di bawah tapak kaki ibu. Ungkapan ini seharusnya sentiasa melekat dalam ingatan anak-anak yang mahukan keberkatan dalam hidup, sekali gus mencari keredhaan ibu untuk memasuki syurga.
Wajarlah bakti dicurahkan kepada ibu selagi mana mereka masih hidup, sesuai dengan sakit perit yang ditanggung sepanjang mereka mengandung dan melahirkan kita.
Itu belum dikira dengan susah payahnya mereka membesarkan kita, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya golongan asnaf.
BACA LAGI: Mohon kesembuhan kanser payudara, mahu jadi pembayar zakat antara doa jemaah asnaf depan Kaabah
BACA LAGI: 'Sebelum tutup mata, mak nak tengok adik beradik bersatu kembali', pesan ibu dikirim jadi doa anak di Baitullah
Bakti yang ditaburkan juga tidaklah semestinya dalam bentuk wang atau harta, tetapi bagi sesetengah ibu, akhlak yang baik dan curahan kudrat walaupun kecil daripada anak sudah memadai menyejukkan hati mereka.
Apatah lagi jika kita mempunyai peluang untuk membalas jasa ibu sendiri di Tanah Suci saat bersama-sama menunaikan umrah.
Dengan ganjaran besar menanti sehingga ratusan ribu kali ganda pahala yang dijanjikan, kita sewajarnya merebut kesempatan tersebut.

Muhammad Amin (kanan) menolak ibunya ketika sesi ziarah di Arafah. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
Seperti dilalui Muhammad Amin Mohd Yunus, pengalaman membawa ibunya, Kasuma Mohd Yunus, menjalani ibadah umrah adalah saat yang paling bahagia buat dirinya.
Dalam keadaan kesihatan ibunya yang uzur, Muhammad Amin sedar itulah peluang buat dirinya untuk mencari keredhaan dan merasai sendiri kesusahan yang pernah dilalui ibunya saat membesarkannya.
“Saya tak fikir soal penat untuk tunaikan hasrat ibu sama ada membuat tawaf wajib, tawaf sunat atau mahu bersolat di kawasan mataf.
“Yang penting, kehendak ibu dipenuhi walaupun kita tahu orang lelaki perlu memakai ihram jika mahu beribadah di mataf.
“Saya sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa mungkin tiada lagi peluang lain untuk balas jasa ibu selain waktu umrah ini,” kata pemuda yang berusia 29 tahun itu.

Muhammad Amin tak kisah berhabis duit demi menemani ibunya menunaikan umrah walaupun tidak memiliki pekerjaan tetap. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
Muhammad Amin pada awalnya berfikir-fikir untuk menawarkan diri untuk menemani ibunya ke umrah sebaik saja mendapat tawaran daripada IKHLAS.com menerusi Program Umrah 1,000 Asnaf.
Tetapi setelah risaukan tiada siapa membantu ibunya di Makkah dan Madinah, Muhammad Amin terus mengambil tanggungjawab untuk menemani ibunya.
“Saya sanggup guna duit simpanan untuk temani ibu, memandangkan kami hanya dua beradik dan adik perempuan saya masih belajar.
“Jadi, apabila IKHLAS.com beritahu ada slot untuk temani ibu, saya setuju untuk ikut sama dan tanggung sendiri segala perbelanjaan,” katanya yang menghabiskan lebih RM6,000 duit simpanannya.
Soal kudrat pula, Muhammad Amin tidak kisah untuk mengerah seluruh tenaga membawa ibunya melakukan ibadah di Masjidilharam walaupun perlu menolak kerusi roda sepanjang ibunya berada di Tanah Suci.
Malah bekas pegawai komunikasi sebuah pasar raya terkenal itu juga perlu menggunakan tingkat satu untuk melakukan tawaf memandangkan kawasan itu dikhaskan bagi mereka yang berkerusi roda.
Pusingan tawaf di tingkat satu Masjidilharam dianggarkan tujuh kali ganda lebih jauh berbanding di kawasan mataf dan kebiasaannya mengambil masa sehingga hampir dua jam untuk menghabiskan ibadah tersebut.
"Boleh dikatakan setiap hari dan setiap waktu solat sepanjang di Makkah, ibu mengajak saya ke Masjidilharam. Cuma bila sesi ziarah saja, kami tidak ke sana.
"Memang mencabar untuk uruskan kerusi roda naik bas, ikut kawasan yang dikhaskan tapi itu semua penat yang berbaloi demi ibu," katanya.
Mengimbau kembali detik menerima tawaran IKHLAS.com itu, Kasuma pada awalnya menyangka panggilan yang diterima adalah ‘scammer’.
Malah, laporan berita mengenai ‘umrah palsu’ membuatkan dirinya bimbang menjadi salah seorang mangsa sindiket tersebut dan meminta bantuan Muhammad Amin untuk menyemak kesahihannya.

Kasuma mengambil peluang berdoa untuk anak-anaknya di depan Kaabah. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
“Bila dapat panggilan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tanya pasal nak pergi umrah, saya macam tak percaya. Jadi saya dengan anak pergi ke pejabat MAIWP untuk semak.
“Mereka beritahu bahawa tawaran ini betul, dan terus saya rasa macam-macam. Sebak, cemas, sedih, gembira, semua ada.
“Mujur ada anak-anak tolong bantu dari segi persiapan, bantu tunaikan tawaf dan saie walaupun saya tahu anak sulung saya ini penat temankan saya tiap-tiap hari ke Masjidilharam.
“Saya sendiri tahu bila dia letih dan tak kisah kalau dia mahu berehat. Yang penting saya bersyukur anak saya sanggup teman tunaikan umrah bersama-sama,” katanya.
IKHLAS.com tampil dengan insiatif membantu golongan kurang berkemampuan menerusi Program Umrah 1,000 Asnaf untuk membantu mereka yang memerlukan menunaikan umrah bermula pada Julai lalu.
Kasuma antara 15 asnaf yang dibawa menjalani ibadah tersebut yang bermula pada 11 November hingga 18 November lalu.
Iniasitif tersebut akan diteruskan sehingga IKHLAS.com mencapai matlamat membantu sekurang-kurangnya 1,000 orang asnaf dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
