SEORANG wanita berkongsi pengalaman mencabar mengimbangi tugas sebagai ibu dan pekerja kesihatan di Threads, susulan tular berita mengenai ibu tunggal yang meninggalkan anak di rumah dan memantau melalui kamera litar tertutup dari tempat kerja.
Dia yang bekerja sebagai jururawat dan sedang hamil anak ketiga ketika itu, terpaksa meninggalkan anaknya yang berusia setahun dan tiga tahun di dalam kereta sementara menjalankan tugas di hospital.
"Sejujurnya, saya pernah berada di situasi seperti berita itu.
"Cumanya, saya letakkan anak-anak saya dalam kereta. Bekas suami saya pula berada bertugas di luar kawasan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Miskin bukan penghalang, anak Orang Asli sebak terima anugerah tokoh murid
BACA LAGI: Fenomena Rembayung dari Thailand ke Itali, inspirasi 'glass house' cipta ‘ambiance’ pembuka selera
Beliau menjelaskan, pengasuh tidak dapat menampung shiftnya dan pihak hospital tidak membenarkan membawa anak ke wad atas alasan risiko jangkitan.
"Akhirnya, anak saya yang berumur setahun dan tiga tahun saya tinggalkan dalam kereta. Saya tidak matikan enjin atau penghawa dingin dan setiap 30 minit saya turun untuk cek anak saya," tambahnya.
Dalam keadaan terpaksa itu, dia hanya mampu berdoa agar anaknya selamat.
"Setiap 30 minit saya tinggalkan anak saya, saya betul-betul berdoa dan letakkan pada ALLAH.
"Jaga anak saya. Tolong jaga anak saya, jangan biarkan apa-apa berlaku pada mereka," tulisnya.
Wanita itu turut berkongsi tekanan emosi kerana ramai melihat tindakannya sebagai salah.
"Tiada siapa yang tahu. Jika saya beritahu, tiada siapa akan faham. Orang hanya nampak saya salah kerana membawa anak ke tempat kerja," ujar.
Setiap kali turun naik untuk memeriksa anak, dia mengaku menangis.
"Bukan kerana letih, tetapi kerana rasa gagal meninggalkan anak dalam kereta sementara saya perlu jaga pesakit lain," ujarnya.
Nasibnya berubah apabila seorang rakan sekerja prihatin datang membantu.
"ALLAH itu baik. Dia hadirkan kawan yang baik untuk saya. Apabila dia tahu, dia cakap dia bawa balik dulu anak-anak saya.
"Masa itu saya sangat bersyukur," katanya.
Wanita itu menambah, sehingga kini rakan tersebut kekal mendengar masalah dan memberi sokongan kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
