Pasukan sokongan kesan aktiviti luar biasa, rupanya wanita bersalin dalam teksi tanpa pemandu


  • Bonda
  • Sabtu, 13 Dis 2025

Wanita tersebut melahirkan bayinya di tempat duduk belakang teksi tanpa pemandu di San Francisco. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEORANG wanita di California menerima 'penumpang tidak dijangka', iaitu bayinya sendiri semasa dalam perjalanan menggunakan teksi Waymo tanpa pemandu ke hospital.

Menurut jurucakap Waymo, wanita itu dalam perjalanan ke Pusat Perubatan University of California, San Francisco (UCSF) pada Isnin lalu apabila bayinya selamat dilahirkan di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

Pasukan sokongan penumpang Waymo mengesan aktiviti luar biasa dalam kereta itu lalu menghubungi wanita berkenaan untuk memastikan keadaannya dan memaklumkan perkhidmatan kecemasan.

BACA LAGI: 'Bukan manjakan, ini soal rezeki', bapa kongsi anak menangis selepas kek terakhir dibeli pelanggan lain

BACA LAGI: [VIDEO] Datang Malaysia sejak remaja, anak bawa 'appa' pulang kampung di India lepas 50 tahun

Teksi Waymo. — Agensi

Waymo tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka mengesan wanita itu dalam keadaan kecemasan.

Menurut jurucakap UCSF, Jess Berthold, kereta tersebut, ibu dan bayi yang baru lahir tiba dengan selamat di hospital.

Selepas itu, Waymo menarik kereta berkenaan daripada perkhidmatan untuk proses pembersihan.

Walaupun kejadian sedemikian jarang berlaku, ini bukanlah kali pertama bayi dilahirkan dalam kenderaan Waymo.

Dalam hantaran blog Rabu lalu, syarikat itu berseloroh mengenai kelahiran baru-baru ini.

"Kami berbangga menjadi pilihan selamat untuk penumpang dalam pelbagai detik, dari yang baru lahir sehinggalah yang sudah dewasa," kata Waymo.

Kenderaan tanpa pemandu semakin popular di beberapa kawasan barat Amerika Syarikat walaupun sering menjadi tajuk berita berkaitan keselamatan dan dibenarkan beroperasi di lebuh raya serta jalan utama sekitar San Francisco, Silicon Valley, Los Angeles, Phoenix serta bandar lain termasuk Atlanta dan Austin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram