Isteri panik nak bersalin terpaksa ketuk rumah jiran, suami asyik lepak sampai pagi, 'call' tak jawab, ini bukan zaman bujang


  • Cinta
  • Rabu, 19 Nov 2025

Seorang wanita terpaksa melahirkan anak pertamanya seorang diri selepas suaminya dikatakan melepak bersama rakan sehingga lewat malam. — Gambar Hiasan

BAYANGKAN berada pada saat paling genting iaitu mahu bersalin anak pertama, tetapi suami leka melepak bersama rakan sehingga lewat malam tanpa sebarang khabar berita.

Itulah dialami seorang wanita, dikenali sebagai Nina yang kini berhasrat memfailkan perceraian selepas mengalami pengalaman mengecewakan itu.

Kisah tersebut dikongsi oleh Nrliyyna., di laman Threads, yang mendedahkan situasi menimpa rakannya.

BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya

BACA LAGI: Suami mohon bantuan sunting gambar bersama arwah isteri, jadi kenangan manis untuk anak yang baru setahun kehilangan ibu

Menurut Nrliyyna, pada pukul 11 malam, Nina mula merasai sakit bersalin yang semakin menekan-nekan.

Dalam keadaan panik, beliau cuba menghubungi suaminya berkali-kali, namun panggilan dan mesej tidak dijawab.

Ketika itu, lelaki berkenaan dikatakan sedang leka membuat siaran langsung bersama rakan-rakannya, tidak menyedari atau mengambil peduli akan kesakitan isteri yang hampir nak bersalin dan menunggu di rumah.

Dalam keadaan terdesak, Nina terpaksa mengetuk pintu jiran untuk mendapatkan bantuan.

Nina membenarkan suaminya melihat bayi mereka tetapi enggan berjumpa suaminya. — Gambar Hiasan

Beliau kemudiannya dibawa ke hospital dan terus melahirkan anaknya kerana bukaan sudah besar. Suaminya hanya pulang pada pukul 4 pagi, selepas semua selesai.

“Nasib baik jiran baru pulang dari joging malam itu, kalau tidak, entahlah bagaimana Nina nak sampai ke hospital,” kongsi Nrliyyna.

Walaupun Nina membenarkan suaminya melihat bayi mereka, tetapi beliau enggan berjumpa dan dikhabarkan berhasrat memfailkan perceraian kerana tidak tahan dengan sikap suami yang kerap melepak sehingga lewat malam tanpa memikirkan perasaan isteri.

Menurut Nrliyyna, Nina menegaskan bahawa ini bukan kali pertama suaminya keluar sehingga lewat malam tanpa memberi khabar.

“Saya tidak kisah dia keluar, tapi bila pulang lewat tanpa khabar, itu sudah melampaui batas,” kata Nina.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya mengecam tindakan suami tersebut.

Seorang pengguna, Choco.pie2 berkongsi pengalaman sepupunya yang mirip, di mana suami leka melepak sehingga pagi menyebabkan isterinya mengalami keguguran.

"Sepupu saya mengalami situasi serupa... lepak sehingga pukul 5 pagi baru pulang. Suatu hari, isterinya pengsan di rumah. Mak sedara saya cuba menghubungi menantunya untuk mengambil nasi di rumah, tetapi panggilan tidak dijawab. Mak uda kemudian pergi ke rumahnya untuk menghantar nasi, namun tiada siapa yang keluar.

"Akhirnya, pak uda terpaksa menendang pintu dan terkejut melihat menantunya terbaring di lantai dengan darah banyak... rupanya alami keguguran.

“Lelaki macam ini perlu belajar tanggungjawab terhadap isteri,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Auzaie Ismail menegaskan bahawa selepas berkahwin, tanggungjawab terhadap rumah tangga dan keluarga adalah keutamaan.

“Jadilah manusia yang bertanggungjawab. Lepak boleh, tapi jangan abaikan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Nor Suhada menasihati lelaki yang masih gemar melepak lama-lama agar meninggalkan hobi tidak bermanfaat itu sebelum menamatkan zaman bujang.

“Lepak tak salah, tapi melepak lama-lama macam hidup single, obviously no. Lelaki macam ini belum sedia kahwin. Jangan aniaya anak orang,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram