NIAT seorang bapa membawa anaknya menikmati sepotong kek kegemaran bertukar menjadi detik sukar apabila kek terakhir di kedai bakeri itu dibeli oleh pelanggan lain, sekali gus membuatkan si kecil menangis di hadapan kaunter.
Menerusi hantaran di akaun Threads, lelaki berkenaan, Mohd Saifulikram Shahzizwan berkongsi detik membawa anaknya ke sebuah kedai bakeri kerana si kecilnya ingin membeli kek potongan kegemarannya.
Menurutnya, dari jauh sudah kelihatan hanya tinggal satu potong kek kegemaran anaknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Datang Malaysia sejak remaja, anak bawa 'appa' pulang kampung di India lepas 50 tahun
BACA LAGI: Erra Fazira sah milik Mr. E, anggun berbusana biru lembut rekaan Rizman Ruzaini
Dia turut mendukung anak tersebut dan menunjukkan kek berkenaan.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila seorang pelanggan lain yang berada di kaunter meminta untuk menambah pembelian dan memilih kek terakhir yang sama, walaupun dipercayai menyedari anak lelaki itu menginginkan kek tersebut.
"Luluh hati saya apabila kek itu diambil. Anak saya menangis tak henti-henti sampai meniarap di depan kaunter.
"Saya hanya mampu pujuk dan beritahu, kalau bukan rezeki kita, tak apa,” tulisnya.
Tambahnya, dia berusaha menenangkan anaknya walaupun berdepan pandangan orang sekeliling, manakala pelanggan terbabit meninggalkan kedai tanpa sebarang reaksi.
Situasi itu, katanya, benar-benar menguji emosi sebagai ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila melihat anak kecil sukar memahami keadaan dan meluahkan perasaan melalui tangisan.
Menjawab kemungkinan kritikan bahawa tindakannya dianggap memanjakan anak, lelaki itu menegaskan perkara tersebut bukan soal memenuhi kehendak semata-mata, sebaliknya berkaitan usaha dan rezeki.
Sebagai solusi, dia meminta bantuan pekerja kedai untuk menghubungi cawangan lain bagi mendapatkan kek yang sama. Hasilnya, stok kek tersebut masih ada di cawangan lain kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi asal.
"Saya sanggup ke sana demi anak. Sekurang-kurangnya saya cuba," katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet, dengan ramai ibu bapa menyatakan mereka memahami situasi berkenaan dan pernah melalui pengalaman sama.
Sebahagian pengguna media sosial turut menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan tentang pentingnya empati, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa yang sedang berdepan situasi sukar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
