INDUSTRI kecantikan global dijangka berdepan perubahan ketara menjelang 2026, didorong oleh inovasi yang kini sedang berkembang pesat di Korea Selatan, antara negara paling berpengaruh dalam menentukan arah aliran kecantikan dunia.
Menurut pemerhati kecantikan antarabangsa, Camille Moor, saban tahun beliau membuat tinjauan ke Jepun dan Korea bagi memantau perkembangan terkini, berkongsi hasil pemerhatiannya.
Katanya, banyak produk dan pendekatan baharu yang sedang mencetus perhatian di Korea ketika ini berpotensi menjadi trend global dalam tempoh dua tahun akan datang.
1. Penggabungan solekan dan penjagaan kulit
Moor menjelaskan bahawa pengguna semakin berminat untuk memilih produk dengan memiliki manfaat berganda.
“Orang tidak lagi mahu membeli solekan atau penjagaan kulit secara berasingan. Mereka mahukan kedua-duanya dalam satu produk,” katanya.
Beliau beranggapan banyak jenama perlu mula menghasilkan formulasi silang dan membina tuntutan produk yang menekankan fungsi dua dalam satu.
2. Penjagaan kulit berasaskan deria (sensory skincare)
Tekstur unik dan elemen visual yang memukau kini menjadi faktor penting dalam pemasaran produk.
“Ia tidak lagi memadai untuk produk sekadar berkesan atau berbau wangi. Produk juga mesti kelihatan menarik apabila dirakam dalam video dan siaran media sosial,” jelas Moor, merujuk kepada peningkatan krim 3D, tekstur jelly dan formula unik yang tular di Korea.
3. Produk mini sebagai aksesori fesyen
Fenomena penggunaan produk saiz mini sebagai hiasan pada beg tangan turut berkembang pesat.
“Di Korea, saya lihat pengguna menggantung face mist, lip gloss dan krim tangan pada beg seperti aksesori fesyen,” ujarnya.
Moor mengaitkan trend ini dengan budaya viral di mana produk lebih cepat mendapat perhatian apabila dilihat dipakai secara terbuka oleh ramai pengguna.
4. Peralihan kepada trend ‘glass hair’
Selepas ‘glass skin’ mendominasi beberapa tahun kebelakangan ini, Korea kini memfokuskan kepada rambut yang licin berkilau bagaikan kaca.
“Produk rambut berasaskan peptida bakal menjadi trend besar seterusnya kerana mampu menghasilkan kilauan tinggi dan tekstur licin yang sedang mendapat permintaan di Korea,” katanya.
Beliau melihat trend ini masih belum meluas di pasaran Barat dan membuka peluang besar untuk jenama antarabangsa.
5. Pencuci muka bertekstur baharu
Pencuci muka kini menjadi kategori paling rancak dari segi inovasi tekstur.
“Segala-galanya daripada pencuci muka mirip krim cukur hingga foam 3D sedang mendapat sambutan luar biasa di Korea,” jelasnya lagi.
Moor menekankan bahawa kategori ini mudah menarik perhatian pengguna digital kerana sifatnya yang dramatik dan sesuai dikongsikan di media sosial.
Dengan Korea terus memacu pembaharuan, industri menjangkakan tahun 2026 bakal menyaksikan perubahan besar dalam pendekatan formulasi, pemasaran dan pengalaman penggunaan produk kecantikan di seluruh dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
