Homestay 25 minit dari Oxford ini milik wanita Malaysia, graduan PhD Oxford kini empunya dua kediaman di UK


  • Sukses
  • Ahad, 07 Dis 2025

Ummi memiliki sebuah homestay eksklusif berhampiran pusat beli-belah jenama mewah, Bicester Village, England.

IMPIAN yang dibina sedikit demi sedikit akhirnya membawa kepada kejayaan buat seorang wanita berasal Malaysia, Ummi yang kini memiliki sebuah homestay eksklusif berhampiran pusat beli-belah jenama mewah, Bicester Village, England yang menjadi magnet pelancong dari serata dunia.

Perkongsian wanita itu di laman Instagram baru-baru ini mencuri perhatian apabila beliau memuat naik video memaparkan transformasi rumah yang dibelinya berhampiran Oxford. 

Setiap ruang disusun rapi, dengan dekorasi moden dan menenangkan sehingga menjadikan kediaman itu tampak seperti rumah percutian idaman. 

“Suatu hari saya menamatkan PhD di Oxford… Selepas hampir lapan tahun menyewa, saya membeli rumah berhampiran Oxford dan mengubahnya menjadi rumah percutian paling indah," kata wanita yang kini menetap di United Kingdom itu. 

BACA LAGI: Tak sempat rakam foto perkahwinan, pasangan legenda Hong Kong abadikan momen berbusana tradisi Bhutan selepas 16 tahun penantian

BACA LAGI: Dihalau dari kafe kerana anak autistik buat bunyi batuk, Che Nom kongsi pengalaman bercuti di Switzerland

Dalam satu lagi rakaman video, Ummi kembali berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh warna. 

Katanya, selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda di New York, beliau berhijrah ke UK untuk menyambung pengajian PhD di Universiti Oxford. 

Langkah itu membuka lembaran baharu iaitu bertemu jodoh melalui Facebook, berkahwin, bergraduasi dan menerima empat tawaran kerja dari empat negara berbeza.

Akhirnya, Ummi memilih untuk membina kehidupan di UK sebelum berjaya memperoleh status penduduk tetap (PR). 

Kini, selain kerjaya profesional, beliau turut menjalankan dua perniagaan iaitu e-dagang, Luxurykitchen4u dan perkhidmatan penginapan, Bicester Homestay.

Beliau juga memiliki dua kediaman di UK dan tinggal bersama haiwan peliharaannya sambil terus menyimpan harapan untuk bergelar ibu suatu hari nanti.

Walau pencapaiannya kini membanggakan, Ummi tetap merendah diri dan mengingatkan pengikutnya bahawa perjalanan ini bermula dari asal-usul sederhana.

“Kisah saya lahir daripada permulaan yang biasa, saya rakyat Malaysia, anak kepada seorang guru dan seorang jururawat,” katanya.

Homestay yang terletak kira-kira 25 minit dari Oxford itu kini menjadi pilihan ramai, terutama pelancong yang ingin menginap berhampiran Bicester Village. 

Suasananya yang selesa, bersih dan direka dengan penuh sentuhan peribadi menjadikan kediaman itu lokasi ideal untuk para pelancong berehat selepas seharian meneroka butik-butik mewah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram