[VIDEO] Cinta tidak kenal usia, wanita 63 tahun bahagia bersama suami 26 tahun, anak-anak restu walau bapa tiri lebih muda


  • Cinta
  • Rabu, 10 Dis 2025

Norlida dan suaminya, Sabree menikmati kebahagiaan dalam rumah tangga.

PERBEZAAN usia 37 tahun tidak menjadi penghalang bagi Norlida dan suaminya, Sabree untuk menikmati kebahagiaan dalam rumah tangga. 

Kisah mereka kembali menjadi perhatian warga maya apabila Hafsah Md Jaia atau lebih dikenali sebagai Ecah memuat naik semula video lama perjalanan cinta ibu bapanya di Instagram.

“Bismillahirrahmanirrahim… kita up video-video lama la dalam reels ni ya.. sebab tak pernah lagi share dalam FB,” tulis Ecah sambil mengimbau detik awal perkahwinan ibunya yang pernah tular beberapa tahun lalu. 

BACA LAGI: Fadhlina Sidek kagum kepetahan pendebat dari SK Felda Purun, muncul juara pertandingan bahas bahasa Melayu

BACA LAGI: Homestay 25 minit dari Oxford ini milik wanita Malaysia, graduan PhD Oxford kini empunya dua kediaman di UK

Dalam hantaran itu, Norlida pernah bertanya kepada anak-anaknya tentang persetujuan anak-anak untuk menerima bapa baru yang lebih muda. 

Anak-anak yang hanya mahu ibu mereka berbahagia bersetuju dengan keputusan ibunya itu. 

"Janji mama bahagia," kata Ecah.

Anak-anaknya semua lebih tua daripada bapa tiri mereka, termasuk Kak Long (42), Kak Lang (36), Ateh (35), Ude (29) dan Moksu (23). 

Namun, hal itu tidak membuatkan mereka tidak hormat dengan bapa tiri selaku orang tua mereka.

"Kami adik beradik tetap hormat walaupun umur kami adik beradik lagi tua dari ayah tiri," katanya. 

Kini, Norlida berusia 63 tahun manakala Sabree 26 tahun. 

Dari perkahwinan itu, Sabree menjadi bapa tiri kepada enam anak dan datuk tiri kepada lapan cucu.

Di TikTok, Ecah menepis dakwaan bahawa suami ibunya hanya berkahwin kerana harta. 

“Mama saya tak bekerja. Kami adik-beradik yang jaga. Kami hidup sederhana sahaja,” jelasnya. 

Semua anak merestui hubungan itu sejak awal, membuktikan bahawa cinta sejati tidak mengenal usia.

Di ruangan komen, ramai warganet berkongsi sokongan dan pengalaman masing-masing.

Ada yang menceritakan hubungan mereka dengan pasangan lebih muda atau lebih tua, sementara yang lain mendoakan agar Norlida dan Sabree terus bahagia hingga ke jannah. 

"Saya pun  beza usia 24 tahun bersama arwah isteri. Aku bersama selama 28 tahun," kata Sa Rit. 

"Doakan saya juga ya. Saya dah usia 40 lebih, bakal suami usia 35 tahun. Saya balu ada 6 orang anak. Insya-ALLAH tahun depan saya kahwin," kata Khasanah

"Jodoh itu rahsia ALLAH SWT... Semoga mama awak bahagia hingga jannah," kata Haspalela Lela. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram