SEORANG kanak-kanak lelaki mencuri perhatian ramai selepas kakinya tersangkut di dalam sebuah tong gas sehingga keluarganya terpaksa mendapatkan bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Johor.
Insiden itu mula tular apabila pengguna TikTok, @dhiya.zainal yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak terbabit memuat naik video yang menunjukkan beberapa anggota bomba berhati-hati mengeluarkan kaki anaknya daripada tong gas tersebut.
Dalam hantaran yang menerima lebih 100,000 tontonan itu, Dhiya meluahkan penghargaan kepada anggota bomba yang membantu menyelesaikan situasi berkenaan.
BACA LAGI: Tular kad kahwin 1963, pengantin perempuan masih sihat di usia 90 tahun
Beliau turut memuji tindakan bomba yang cekap sambil memaklumkan, insiden itu berlaku gara-gara anaknya menjadikan tong gas tersebut sebagai tempat duduk bayi.
"Terima kasih abang dan kakak bomba Pasir Gudang kerana berusaha mengeluarkan adik Hariz.
"Sangat cekap dan efisien. Aduhai, anak bertuah ummi ayah. Betul-betul pengalaman sungguh.
"Panjang akalmu nak, dibuatnya tong gas itu macam baby seat," tulisnya.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang masing-masing meninggalkan komen bersifat gurauan mengenai kejadian berkenaan.
Ada yang menyamakan pembelian tong gas dengan ‘hadiah budak percuma’, manakala ada yang bergurau bahawa industri minyak dan gas sememangnya memerlukan latihan sejak kecil.
Memetik laporan Berita Harian, kanak-kanak berusia tiga tahun itu tersangkut sekitar jam 3 petang Ahad lalu.
Usaha keluarga untuk mengeluarkannya sendiri tidak berhasil menyebabkan mereka membawa kanak-kanak tersebut bersama tong gas yang melekat itu terus ke balai bomba.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjelaskan, keluarga kanak-kanak itu bimbang keadaan akan bertambah serius, lalu memilih untuk segera mendapatkan bantuan anggota bomba.
Bagaimanapun, menurut anggota yang bertugas, proses mengeluarkan kanak-kanak tersebut sebenarnya tidaklah rumit.
Kanak-kanak itu didapati mengeraskan kaki ketika berada di rumah menyebabkan keluarganya gagal mengeluarkannya.
Sebaik tiba di balai bomba, anggota bertugas berjaya memujuknya supaya melonggarkan badan sebelum kaki dapat ditarik keluar dengan mudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
