KETIDAKADILAN dan diskriminasi dalam keluarga, terutamanya melibatkan watak nenek sering kali menjadi topik sensitif sehingga meninggalkan kesan mendalam.
Baru-baru ini, pengakuan seorang wanita di media sosial menarik perhatian dan simpati ramai apabila dia berkongsi pengalaman pahit membesar dengan nenek yang didakwa menunjukkan sikap pilih kasih.
Menerusi ciapan yang tular di media sosial, wanita tersebut menceritakan bagaimana dia dan adik-beradiknya dilayan dengan layanan berbeza berbanding sepupu mereka yang lain.
BACA LAGI: Dulu jaring gol lawan Man United, kini Amri Yahya jadi tukang 'assist' bakal pemilik rumah baharu
BACA LAGI: Seni hijau minimalis, kenapa succulent wajar hiasi kediaman anda
Menurut perkongsian wanita itu, sejak kecil layanan berat sebelah neneknya sangat jelas terutamanya berkaitan soal makanan.
"Rumah saya dengan nenek ini dekat-dekat sahaja. Momen paling saya ingat ialah kami adik-beradik meminta mi segera satu paket kecil. Tahukah dia buat apa? Dia suruh kami bayar RM1. Cucu dia yang lain dapat makan percuma," luahnya.
Pada waktu itu, ibu bapa mereka berhadapan masalah peribadi dan jarang berada di rumah, menyebabkan beliau perlu menjaga adik-adiknya.
Keadaan itu menyebabkan mereka hanya mampu memerhatikan sepupu mereka menikmati hidangan seperti nuget dan nasi lemak sementara mereka dilayan secara berbeza.
Diskriminasi itu berterusan sehingga mereka dewasa, malah beranjak kepada perbandingan status dan pendapatan.
Wanita itu mendedahkan bahawa neneknya sering menilai cucu-cucu berdasarkan tahap pendidikan, warna kulit dan kini pekerjaan.
"Dia tidak suka adik-beradik saya lebih daripada cucu kesayangannya," katanya.
Perkara yang paling meninggalkan parut ialah ketika beliau dan adiknya mula bekerja.
"Dah habis belajar ini pula jadi kes dia hubungi saya tanya pasal gaji nak pastikan gaji saya lagi rendah daripada cucu kesayangan dia," dedahnya.
Lebih mendukacitakan, adik lelakinya yang mula bekerja sejurus selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dimarahi oleh neneknya.
"Dia hubungi adik saya marah-marah, katanya kenapa bagi duit belanja kepada ibu bapa saya? Mereka kan sudah bekerja? Itu pun ada isu, tuan-tuan dan puan-puan," tulisnya.
Walaupun hampir setiap hari menghubungi keluarga, satu pertengkaran kecil dalam keluarga telah menyebabkan beliau menerima panggilan telefon yang mengejutkan dari neneknya.
"Baru balik kerja nenek telefon, dia cakap 'Kau kakak yang tidak berguna, kau sedap duduk di sana tidak kisah pasal adik-adik!'"
"Saya terkejut tiba-tiba dia tengking terus bercakap begitu. Itu kali pertama saya benci nenek saya. Selama ini saya mendengar cakap mak saya suruh bersabar. Tetapi kini, maaf sahajalah," tegasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya dengan ramai yang meluahkan rasa simpati dan berkongsi pengalaman serupa.
Rata-rata menasihatkan wanita itu agar lebih berani mempertahankan diri dan meletakkan kesejahteraan emosi sebagai keutamaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
