[VIDEO] Suasana hiba di majlis konvokesyen, ibu ambil anugerah khas mendiang anak lepas tak sempat habis belajar


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Air mata seorang ibu tumpah di atas pentas Universiti saat menerima Anugerah Aegrotat sebagai penghormatan terakhir buat anaknya.

KEHILANGAN ibu bapa adalah luka yang perit, ia umpama hilangnya akar tempat kita berpaut dalam hidup.

Namun, bila seorang ibu kehilangan anak perasaan itu adalah azab yang tiada penghujungnya kerana ia seolah-olah seluruh dunia dan masa depan diimpikan telah direnggut pergi, meninggalkan kekosongan abadi.

Ini kerana fitrahnya anaklah yang seharusnya mengebumikan ibu, bukannya sebaliknya.

BACA LAGI: 'Siapa ada nenek toksik?' Layanan berbeza antara cucu, bukan 'favorite' diminta bayar untuk makanan

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal jadi adik-beradik tiri seusia, Erra Fazira dan Mr E lega anak-anak perempuan serasi

Itulah wajah kasih seorang ibu yang terpaksa merelakan dengan hati yang remuk namun penuh kebanggaan.

Wajah itu jelas terlihat daripada seorang ibu iaitu mendiang kepada Bhagwant Singh A/L Kuldeep Singh yang melangkah ke pentas dengan penuh sayu untuk menerima Anugerah Aegrotat daripada Universiti Malaya semasa istiadat majlis konvokesyen baru-baru ini.

Menerusi perkongsian media sosial Universiti Malaya, satu detik paling menyentuh jiwa telah dirakamkan.

Dalam suasana yang diselubungi hormat dan keheningan yang mendalam, Anugerah Aegrotat itu diserahkan sebagai satu pengiktirafan terakhir atas perjalanan akademik mendiang yang terhenti.

Anugerah itu jauh melangkaui sekadar ijazah, ia adalah saksi bisu kepada cinta, dedikasi dan janji seorang anak yang kini hanya mampu dipegang erat oleh tangan ibunya.

Saat ibunya melangkah naik ke pentas, segala emosi yang terbuku tidak dapat lagi ditahan.

Tangisan ibu mendiang pecah apabila beliau memeluk salah seorang pensyarah yang menyampaikan anugerah itu dengan penuh erat.

Pelukan itu, yang disambut dengan tepukan gemuruh seluruh dewan seolah-olah cuba menyalurkan kekuatan sambil menggambarkan beratnya hati seorang ibu yang berkorban.

Kamera turut merakamkan visual sayu di atas pentas, apabila seorang pensyarah kelihatan mengesat air mata yang turut terkesan dengan momen penuh duka dan kebanggaan itu.

Ketika di tempat duduk, sebaik sahaja kembali, tangisan ibu itu semakin teresak-esak, ditenangkan oleh ahli keluarga yang cuba memujuk.

Air mata itu menterjemahkan segalanya betapa peritnya hati seorang ibu yang telah mengandungkan dan membesarkan anak selama sembilan bulan, kini terpaksa menerima impian yang selesai sebelum sempat ia bermula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram