SEORANG wanita di China berkahwin dengan lelaki yang menyelamatkannya daripada runtuhan gempa bumi lebih 10 tahun lalu, satu pertemuan semula yang berlaku secara tidak disangka-sangka selepas lebih sedekad terputus hubungan.
Kisah pasangan itu dikongsikan pada 29 November lalu di Changsha, Hunan semasa Majlis Perkahwinan Kolektif Han Tahunan kelima yang menyaksikan 37 pasangan disatukan.
Pasangan istimewa tersebut ialah Liang Zhibin dan isterinya, Liu Ximei berkongsi kisah cinta yang bermula lebih 15 tahun dahulu.
BACA LAGI: [VIDEO] Staf pun tak tahu siapa bos, Khairulaming buka restoran pertama modal RM4 juta di Kg Baru

Liu Ximei dan bekas tentera Liang Zhibin dipertemukan semula secara kebetulan di sebuah restoran.
Liang, yang kini 12 tahun lebih tua daripada Liu, merupakan seorang askar berusia 22 tahun ketika gempa bumi dahsyat Wenchuan melanda pada 2008.
Dalam tragedi itu, Liang ditugaskan membantu operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan Liu yang ketika itu baru berusia 10 tahun selepas terperangkap di tingkat dua bangunan yang runtuh, dihempap besi dan bongkah batu.
Liang dan pasukannya menggali selama empat jam sebelum berjaya membawa Liu keluar dan menghantarnya ke hospital.
Selepas pulih, Liu dan keluarganya berpindah kembali ke Zhuzhou, Hunan.
“Selama bertahun-tahun, saya tidak dapat mengingati wajahnya. Saya hanya ada bayangan samar dalam ingatan,” kata Liu.
Segalanya berubah pada 2020 ketika Liu, yang berusia 22 tahun ketika itu sedang makan malam bersama ibu bapanya di sebuah restoran di Changsha.

Kisah cinta menyentuh hati pasangan itu didedahkan pada majlis perkahwinan beramai-ramai.
Tiba-tiba, ibunya memerhatikan seorang lelaki di meja bersebelahan dan mengatakan bahawa individu tersebut seiras dengan askar yang menyelamatkan anaknya dahulu.
Mendengar kata-kata ibunya, Liu terus bangun dan menghampiri lelaki itu dan menyapa lelaki berkenaan.
“Abang Liang? Betulkah ini? Saya sangat teruja dan sedikit malu,” kenang Liu.
Liang pula mengakui dia tidak mengenali Liu kerana perubahan besar pada penampilannya.
Malam itu, Liu menambah nombor telefon Liang dan memulakan perbualan berkongsi cerita harian dan mula rapat semula.
Secara perlahan-lahan, perasaannya terhadap Liang semakin mendalam.
Ketabahan dan kesetiaan Liang membuatkan Liu berani meluahkan perasaannya terlebih dahulu.

Ibu bapa menangis sambil memegang gambar anak-anak mereka selepas gempa bumi Wenchuan 2008, yang meragut lebih 200 nyawa pelajar dan mencederakan ramai lagi.
“Saya tidak mencintainya kerana rasa terhutang budi. Selepas meluangkan masa bersama, saya sedar dialah insan yang boleh saya percayakan sepanjang hidup," katanya.
Liang turut terpikat dengan keikhlasan dan keceriaan Liu.
“Dia ibarat sinar dalam hidup saya. Setiap kali saya rasa hilang semangat, sikap positifnya mengingatkan saya bahawa hidup ini masih penuh harapan.
“Menyelamatkan orang dahulu adalah tugas saya, tetapi mencintainya adalah pilihan hati saya. Dua perkara yang berbeza.
“Takdir memang menakjubkan. Dua belas tahun lalu, saya menyelamatkannya. Dua belas tahun kemudian, dia menjadi cahaya dalam hidup saya,” kata Liang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
