[VIDEO] Masih berdaftar MSAF, kegagalan enjin punca pesawat ringan terhempas di Tapah


  • Kes
  • Selasa, 09 Dis 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah.

POLIS mengesahkan pesawat ringan yang terhempas di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Perak pada Ahad merupakan pesawat berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semasa kejadian berlaku, pesawat berkenaan turut dikendalikan seorang juruterbang dan pelatih yang sah dan berdaftar di bawah persekutuan sama.

Menurut laporan awal, difahamkan pesawat tersebut dikesan melakukan pendaratan cemas akibat kerosakan enjin.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua cedera pesawat ringan terhempas di Taiping

BACA LAGI: Seorang askar Thai maut, tegas PM Anwar, Thailand-Kemboja perlu kembali berunding lepas ketegangan di sempadan memuncak semula

Katanya, siasatan teknikal insiden itu kini diserahkan sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memandangkan ia melibatkan aspek penerbangan sukan.

"Laporan awal kejadian ini telahpun dihantar kepada CAAM. Siasatan terperinci berkaitan teknikal, kerosakan enjin atau kemungkinan ralat manusia akan dilakukan oleh CAAM.

"Polis masih menunggu perkembangan siasatan tersebut daripada CAAM," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan PDRM Tapah pada Selasa.

Dalam majlis itu, Superintenden Abdul Malik Hasim akan menggantikan Johari yang akan bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisam memaklumkan, juruterbang lelaki berusia 46 dan pelatih lelaki berusia 40 tahun yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan mengalami patah kaki.

"Saya nasihatkan supaya kita elakkan sebarang spekulasi. Biarlah CAAM menjalankan siasatan penuh sebelum apa-apa kesimpulan dibuat," katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail memaklumkan bahawa polis menerima laporan mengenai nahas tersebut pada pukul 10.30 pagi Ahad melalui sistem NG MERS 999. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram