SEMAKIN ramai bergantung pada Face ID sebagai sistem keselamatan telefon, namun kisah kebelakangan ini membuka sisi lain yang jarang dibincangkan terutama apabila melibatkan insan tersayang yang meninggal dunia.
Di laman Thread, Zulhilmi Khairuddin berkongsi pengalaman menyayat hati apabila mereka gagal membuka iPhone milik seorang arwah walaupun telah beberapa kali cuba menghalakan telefon ke wajahnya.
“Kami cubalah nak unlock guna Face ID dekat arwah… buka mata, halakan phone depan-depan. Dah cuba dua kali pun tak berjaya,” tulis Zulhilmi.
Beliau berkata, niat mereka hanyalah untuk mencari nombor mak angkat arwah bagi memaklumkan pemergiannya.
Namun, semua maklumat penting itu terkunci di dalam telefon dan tidak ada cara untuk mereka akses semula.
Akhirnya, usaha itu dihentikan apabila keluarga arwah tiba dan telefon diserahkan kepada kakaknya.

Keluarga arwah berkumpul dan menyerahkan telefon kepada kakak arwah, menandakan semua urusan digital tidak dapat diakses. — Gambar hiasan
Kenapa Face ID tak boleh dibuka selepas seseorang meninggal?
Zulhilmi menjelaskan beberapa sebab teknikal yang membuatkan Face ID mustahil berfungsi pada wajah orang yang sudah meninggal:
1) Pengesanan Perhatian (Attention Detection)
Face ID memerlukan mata terbuka dan sedikit pergerakan mikro pada otot wajah.
Mayat tidak mempunyai pergerakan mata atau fokus sehingga menyebabkan sistem menolak bacaan.
2) Pengesanan kedalaman inframerah (Infrared Depth Detection)
Aliran darah yang berhenti mengubah tona kulit dan struktur bacaan wajah.
3) Reka bentuk anti-paksaan
Apple menetapkan ciri keselamatan untuk menghalang telefon dibuka walaupun pemilik tidur, tidak sedarkan diri atau meninggal dunia.

Telefon pintar yang terkunci, menyimpan maklumat penting yang sukar diakses selepas pemiliknya meninggal dunia. — Gambar hiasan
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian Zulhilmi menarik perhatian ramai, termasuk seorang wanita, Amelia Ahmad yang mendedahkan perubahan pada wajah arwah suaminya sebelum meninggal.
“40 hari sebelum meninggal pun tak boleh. Saya perasan suami saya kena tukar Face ID sebab tak detect. Rupanya mata dan hidung dah jatuh,” tulisnya.
Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa. Seorang pengguna, Nrshareena berkata, telefon saudaranya sehingga kini tidak dapat dibuka sehingga menyebabkan segala maklumat, mesej WhatsApp dan urusan kerja terputus begitu sahaja.
“Kita orang nak buka sebab nak tengok kot ada hutang tak bayar, urusan kerja atau nak maklum kawan-kawan… tapi memang tak boleh," katanya.
Bagi Mohd Idham Haris, pengalaman kehilangan abang membuatkan dia belajar sesuatu.
“Face ID dan cap jari tak boleh. Android pun sama. Kalau hantar kedai, cuma boleh reset sahaja... semua hilang. Nasihat saya, tolong save semua kat email dan simpan password," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
