TINDAKAN luar dugaan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Zaozhuang, wilayah Shandong, China mencuri perhatian seluruh dunia apabila dia memotong kalung emas milik ibunya kepada bahagian-bahagian kecil sebelum menghadiahkannya kepada rakan-rakan sekelas sebagai tanda persahabatan.
Perkara itu terbongkar selepas kakaknya memaklumkan bahawa seorang rakan sekolah mendakwa menerima sekeping emas daripada adiknya.
Ibunya, Sun, yang pada awalnya menyangka ia sekadar cerita yang direka, akhirnya terpaksa menerima pendedahan daripada anaknya itu.
“Saya benar-benar fikir mereka bergurau. Tidak menyangka langsung bahawa semuanya benar berlaku,” kata Sun.
Pasangan itu kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Rakaman tersebut memaparkan tindakan anak mereka yang membuka laci ibunya, mengambil kalung emas yang merupakan hadiah perkahwinan, kemudian mencuba memotongnya menggunakan playar sambil memanaskan logam tersebut dengan pemetik api.
Apabila usaha itu gagal, kanak-kanak tersebut menggigit kalung berkenaan sehingga terputus menjadi cebisan kecil.
Sun berkata, anaknya tidak ingat kepada siapa cebisan-cebisan itu diberikan dan di mana baki lain diletakkan.
Selepas pencarian menyeluruh, mereka hanya menemui sebahagian kecil daripada kalung asal seberat 8 gram itu.
“Dia cuma berkata dia mahu berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan. Dia langsung tidak menyedari bahawa barang yang diambil ialah emas,” ujar Sun.
Harga emas perhiasan di China berada sekitar 1,200 yuan bagi setiap gram. Dengan berat 8 gram, nilai kalung itu ialah 9,600 yuan (bersamaan kira-kira RM5,600) berdasarkan kadar tukaran terkini.
Ketika ditanya sama ada dia mengetahui nilai sebenar emas, anak tersebut mengatakan bahawa dia tidak tahu.
Jawapan itu menyebabkan si bapa menghukumnya dengan memukul, tindakan yang kemudian mengundang kritikan dalam talian.
Seorang peguam dari Hebei, Bi Jian Xia Shuo Fa menjelaskan bahawa kanak-kanak berusia lapan tahun dikategorikan sebagai individu dengan kapasiti sivil terhad.
“Perbuatan mereka perlu dinilai berdasarkan tahap kefahaman usia. Walau apa pun alasannya, hukuman fizikal terhadap kanak-kanak melanggar Undang-undang Perlindungan Kanak-Kanak China,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
