BUKAN tentang berapa banyak wang, tetapi sejauh mana seseorang sanggup berusaha untuk orang yang disayangi.
Itulah yang terbukti dalam kisah seorang wanita berusia 38 tahun yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 Disember ini.
Dalam hantaran di platform Threads, wanita itu menekankan bahawa dia sama sekali tidak kisah mengenai jumlah hantaran yang diberikan tunangnya kerana tidak mahu membebankan.
Semua kos majlis kenduri akan ditanggung sendiri, dan majlis dijadualkan secara sederhana bagi menumpukan pada kebahagiaan dan kesederhanaan.
Menurut wanita itu, tunangnya pada awalnya mencadangkan sekurang-kurangnya RM10,000, namun dia menyatakan jumlah lebih rendah tetap diterima.
“RM3,000 pun saya terima. Lagipun saya takkan guna pun duit hantaran itu untuk majlis saya,” katanya.

Terharu dengan usaha tunang, wanita ini memandang gelang emas bernilai RM8,000 yang bakal disarungkan pada hari pernikahannya. — Gambar hiasan
Beberapa bulan kemudian, wanita itu terkejut apabila tunangnya berjaya mengumpul RM8,000 untuk hantaran.
Usaha tunangnya itu membuatkan wanita tersebut terharu kerana lelaki itu sanggup mengikat perut demi memberikan yang semampu mungkin.
Daripada jumlah itu, wanita berkenaan menukarkan hantaran tersebut kepada gelang emas bernilai RM8,000 yang akan disarungkan tunangnya pada hari pernikahan mereka.
"Majlis saya habis dalam RM6,000 sahaja, Alhamdulillah sangat dapat pakej sangat murah," katanya.
Untuk rekod, pasangan ini mula mengenali satu sama lain awal tahun ini melalui Facebook Dating.

Wanita itu tersenyum gembira saat mencuba gelang emas hasil usaha dan pengorbanan tunangnya. — Gambar hiasan
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang kagum dengan usaha tunang dan kesungguhan pasangan mengekalkan cinta yang matang.
Antaranya, Hasbullah yang beranggapan bahawa apabila kedua-dua pasangan saling memahami antara satu sama lain, segala masalah dapat dilalui dengan lebih mudah.
"Apabila wanita mempunyai mindset sebegini dan suami seorang yang bertanggungjawab dalam setiap perkara, kedua-duanya boleh menghadapi apa sahaja.
"Bukan soal berapa banyak wang yang dimiliki, tetapi sejauh mana usaha yang sanggup dilakukan untuk memastikan hubungan itu berhasil. Akan ada masalah, tetapi kalian akan lalui bersama," katanya.
Ada warga maya, Saiyara yang menekankan bahawa bukan jumlah wang yang menjadi ukuran cinta, tetapi usaha dan niat yang tulus.
“Tahniah sis! Akhirnya penantian berbaloi juga. Bukan jumlah yang menjadi fokus, tetapi usaha dan niat. Semoga dipermudahkan urusan sis dan hubungan kalian hingga ke jannah. Jadilah isteri yang baik untuk dia," katanya.
Ada juga yang memuji usaha tunang yang tidak mudah berputus asa dan menekankan keikhlasan dalam hubungan.
“Effort memang A++. Macam ini baru betul. Wanita mudahkan tunang, tetapi tunang tetap berusaha untuk awak. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan urusan kalian berdua. Ada yang pihak perempuan dah mudahkan, tetapi lelaki buat sambil lewa sahaja. Selamat pengantin baru, semoga kekal bahagia sampai ke jannah," kata Ellianaj.
Ada yang mengaitkan pengorbanan tunang dengan tanggungjawab yang lebih luas dalam kehidupan berkeluarga.
“Suka baca cerita macam ini. Kita tak kisah semua benda material, yang penting usaha dan niat. Jika dia sanggup berusaha untuk hantaran, insya-ALLAH dia juga akan usahakan untuk keluarga nanti. Semoga majlis berjalan lancar, jaga suami dengan baik, dan dijauhkan daripada ahli keluarga yang toksik," kata Nuoi.
Individu lain, Devreny Debra Disin memberi pujian kepada lelaki yang bertanggungjawab dan matang.
“Orang macam ini memang nampak bertanggungjawab. Saya pun lama menunggu jodoh, jumpa pada usia 30-an. Memang jenis yang tanggung semua keperluan anak dan isteri. Effort dia boleh dijadikan contoh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
