Seni hijau minimalis, kenapa succulent wajar hiasi kediaman anda


  • Hias
  • Khamis, 04 Dis 2025

Keindahan succulent yang pelbagai bentuk dan warna menawarkan sentuhan alam semula jadi yang tahan lasak dan elegan untuk setiap sudut kediaman moden.

DALAM arus pemodenan dan kesibukan gaya hidup urban, sentuhan alam semula jadi di dalam ruang kediaman bukan lagi kemewahan tetapi satu keperluan yang menyumbang kepada keseimbangan mental dan estetik.

Selain daripada populariti terrarium yang kini dilihat sebagai medium hiasan semakin menjadi pilihan.

Tumbuhan lain yang mendapat tempat di hati pemilik rumah moden ialah tanaman berair atau lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, succulent.

BACA LAGI: Periksa retakan konkrit kediaman, tanam rumput 'penutup bumi' antara 4 langkah siap siaga hadapi musim tengkujuh

BACA LAGI: Ada cara langsai 'loan' rumah dalam tempoh 20 tahun banding 35 tahun — Pakar

Tumbuhan itu, yang terkenal dengan keupayaan menyimpan air pada daun, batang atau akar yang tebal menawarkan satu penyelesaian hiasan yang unik, praktikal serta mudah dijaga.

Ia hadir dalam pelbagai rupa bentuk, tekstur dan warna yang menawan menjadikannya kanvas hidup sempurna untuk sebarang konsep rekaan dalaman, daripada minimalis moden hingga kepada gaya bohemian yang santai.

Mengapa ‘succulent’ pilihan bijak?

Kehadiran succulent di dalam rumah bukan sekadar pengisi ruang.

Ia membawa pelbagai kebaikan holistik baik dari aspek praktikal, kesihatan mahupun kewangan.

1. Kelebihan praktikal: Tahan lasak dan mudah jaga

Kekuatan utama succulent terletak pada daya tahannya yang luar biasa.

Ciri semula jadinya yang berasal dari iklim kering membolehkannya bertahan dengan penyiraman yang jarang.

Bagi mereka yang mempunyai jadual kerja padat atau sering berulang-alik, tumbuhan itu adalah pilihan ideal kerana ia memerlukan perhatian minimum.

Succulent sangat sesuai untuk individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia berkebun di dalam rumah kerana ia mengajar kita tentang kesederhanaan.

Tumbuhan itu tidak memerlukan penyiraman yang kerap hanya pendedahan cahaya yang cukup.

2. Kos permulaan mampu milik

Dari segi pelaburan awal, memiliki succulent tidak membebankan.

Tanaman bersaiz kecil dan sederhana sering ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan, membolehkan pemilik rumah membeli beberapa jenis untuk mencipta susunan menarik tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

Secara purata, kos bagi sebatang succulent boleh bermula serendah RM5 hingga RM25 bergantung kepada spesies dan saiz.

Walaupun spesies yang lebih unik misalnya Echeveria tertentu atau Haworthia mungkin mencecah harga lebih tinggi, variasi tersedia di pasaran tempatan masih menawarkan fleksibiliti kos yang tinggi.

3. Kesan positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan

Kehadiran kehijauan di dalam ruang peribadi telah lama dikaitkan dengan peningkatan kualiti hidup.

Walaupun tidak sehebat sesetengah tumbuhan lain, succulent masih menyumbang kepada aspek kualiti udara dan mentaliti.

Peningkatan mood: Melihat kehijauan dan rupa bentuknya yang unik dilaporkan dapat mengurangkan tahap tekanan dan keresahan.

Kelembapan udara: Sama seperti tumbuhan lain, proses transpirasi yang berlaku membantu melembapkan udara dalaman yang baik untuk pernafasan.

Fokus dan produktiviti: Meletakkan succulent di meja kerja boleh berfungsi sebagai titik fokus visual yang santai, sekali gus meningkatkan tumpuan ketika bekerja dari rumah.

Kesan estetik yang dibawa oleh succulent adalah transformatif.

Daunnya yang berbentuk geometrik dan susunan roset menyediakan elemen visual yang kukuh.

Hiasan meja kopi: Susunan beberapa succulent kecil dalam dulang batu-batan atau pasir berwarna boleh menjadi 'focal point' yang elegan.

Rak dan almari: Ia menambahkan tekstur dan warna pada rak buku atau almari paparan.

Hiasan dapur dan bilik mandi: Walaupun perlu berhati-hati dengan kelembapan berlebihan, succulent yang diletakkan di tingkap dapur atau bilik mandi boleh mencantikkan ruang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram