PENGALAMAN seorang sukarelawan pengurusan jenazah, Wahida Hussain membuka sisi gelap yang jarang diperkatakan iaitu tentang bagaimana sesetengah isteri dizalimi dalam diam oleh pasangan sendiri sehingga membawa kepada kematian yang penuh derita.
Dalam perkongsiannya di media sosial, Wahida menceritakan detik paling diingati sepanjang bertahun-tahun menjadi sukarelawan memandikan jenazah.
Antara yang paling mencengkam ialah jenazah pesakit AIDS, HIV dan tibi, bukan sahaja kerana prosedur yang lebih ketat, tetapi juga kerana rasa hiba melihat mereka pergi tanpa disertai keluarga atau rakan terdekat.
“Sedih… sebab tiada keluarga atau rakan yang nak mandikan jenazah. Yang iring ke kubur pun tak sampai 10 orang,” katanya.
BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Petugas menyediakan campuran larutan pembasmi kuman di ruang khas sanitasi. — Gambar Hiasan
Menurut Wahida, jenazah pesakit HIV/AIDS yang baru meninggal kurang 24 jam kadangkala mengeluarkan bau sangat kuat.
Ada juga kes di mana jenazah berbau busuk kerana tertinggal sehingga 25 hari sebelum ditemui.
Namun yang lebih menyayat hati, ramai dalam kalangan mereka adalah mangsa terutama isteri yang dijangkiti melalui pasangan.
Wahida menjelaskan bahawa prosedur memandikan jenazah pesakit berjangkit perlu dilakukan dengan sangat teliti.
Prosesnya bermula dengan menggunakan air campuran Clorox sebagai lapisan pertama bagi mematikan kuman, sebelum jenazah dibilas semula dengan air biasa.
Setelah itu, lapisan kedua menggunakan Dettol untuk memastikan kawasan kudis atau luka benar-benar bersih.
Jenazah juga memerlukan kapas tambahan bagi menahan air kudis atau luka yang masih berair, selain penggunaan kapur barus dan air mawar dalam jumlah yang lebih banyak daripada biasa.
Menurut Wahida, bau Clorox yang digunakan sangat kuat sehingga menembusi dua lapisan pelitup muka yang dipakainya.
“Clorox digunakan dulu untuk matikan kuman. Bau dia sangat kuat… double facemask pun tembus," katanya.

Ruang pengurusan jenazah dengan sebuah pengusung tertutup. — Gambar Hiasan
Katanya, walau begitu, setiap jenazah tetap diuruskan dengan penuh hormat seperti jenazah lain, cuma perlu lebih langkah keselamatan.
Antara kisah yang paling pahit dalam ingatan Wahida ialah mengenai seorang wanita yang meninggal dunia akibat jangkitan HIV daripada suaminya.
“Dia dijangkiti sebab suami. Tapi jenazah dia cantik sangat… putih, pink, macam duduk tempat bersalji. Kematian orang yang dizalimi.
"Masa dia meninggal, suami tak muncul ya," katanya.
Di ruangan komen, ramai warga maya berkongsi pengalaman serupa.
Bekas pelatih kesihatan, Faizah Hazirah mengimbau kembali saat melihat jenazah HIV disiram dengan Clorox.
“Saya teringat semasa praktikal sebagai pegawai kesihatan sekitar tahun 2008.
"Saya lihat ketika disiram dengan campuran Clorox, kelihatan seolah-olah badan jenazah itu ‘berasap’," katanya.
Shamil Damanhuri pula berharap, perkongsian ini menjadikan golongan yang terlibat dalam hubungan terlarang supaya segera bertaubat.
"Semoga mereka yang membacanya insaf dan bertaubat selagi nyawa masih dikandung badan," katanya.
Seorang pengguna lain berkongsi kisah keluarganya yang meninggal akibat AIDS.
"Jenazah saudara kami yang meninggal akibat AIDS terpaksa dibalut dengan plastik dan diuruskan sepenuhnya oleh pihak hospital.
"Keluarga tidak dibenarkan mencium atau menguruskan jenazah, hanya boleh melihat dari jauh, itu pun seorang sahaja iaitu isterinya," katanya.
Afifah Abdullah pula menceritakan pengalaman ibunya yang pernah memandikan jenazah seorang isteri yang dijangkiti HIV daripada suami sendiri.
"Dapat HIV daripada suami sendiri, sedih bila mengenangkan bagaimana dia mendapat penyakit itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
