MAJLIS perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin pada Jumaat diselubungi suasana hiba apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilihat sebak ketika menonton montaj memperingati sedekad pemergian anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Tayangan video tersebut dicipta khas bagi mengenang kembali momen indah Almarhum yang merupakan pejuang kanser hati bersama seluruh keluarga baginda.
Menghidap kanser hati tahap empat sejak akhir 2014, Almarhum mangkat pada 5 Disember 2015 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor pada usia 25 tahun.
BACA LAGI: Tidur berhimpit Gucci, jurugambar Jepun rakam realiti ekstrem 'fashion hoarder'

Majlis perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin yang berlangsung pada Jumaat. — Facebook/Sultan Ibrahim
Majlis yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim itu turut diiringi isteri tercinta, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah; Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut berangkat sama, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, syarikat penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, Precious Hospitals Sdn Bhd yang berpangkalan di Singapura akan mengendalikan pusat kanser berkenaan yang bernilai RM500 juta.

Majlis turut dihadiri seluruh ahli keluarga dan kerabat diraja baginda. — Facebook/Sultan Ibrahim
Katanya, pusat kanser tersebut juga menyediakan kemudahan diagnostik dan rawatan berteknologi tinggi bagi memperkukuhkan perkhidmatan onkologi serta kerjasama antara sistem kesihatan awam termasuk swasta di Malaysia.
"Apabila siap sepenuhnya, ia akan mempunyai 200 katil dan dilengkapi kemudahan pusat Positron Emission Tomography–Computed Tomography (PET-CT) serta perubatan nuklear termasuk siklotron pertama di luar Lembah Klang.
"Ia bagi membolehkan pengeluaran radioisotop perubatan untuk tujuan pengimejan dan terapi kanser di lokasi.
"Ini juga akan meningkatkan pengesanan awal, memperluaskan akses rawatan serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan radioisotop dari lokasi yang jauh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pemergian sedekad Almarhum Tunku Abdul Jalil dikenang menerusi montaj khas ketika perasmian. — Facebook/Sultan Ibrahim
Baginda pada masa sama memperkenankan hospital itu bersempena Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Keberanian dan ketabahan Almarhum melawan penyakit tersebut sekali gus menjadi tunjang inspirasi kepada penubuhan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang menyalurkan pelbagai bantuan kepada pesakit-pesakit kanser. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
