ISU kesihatan mental dan trauma zaman kanak-kanak kini semakin mendapat perhatian dalam perbincangan keibubapaan moden.
Mengapa sesetengah ibu bapa mudah melenting, cepat marah dan emosi tidak stabil terhadap anak-anak walaupun atas kesalahan kecil?
Perkara itu dibincangkan secara mendalam oleh pakar keibubapaan dan penulis buku, Mohd Fhais Salim, melalui perkongsian Threads.
BACA LAGI: Kenapa anak cepat 'moody', mengamuk bila kalah permainan digital?
BACA LAGI: [VIDEO] 'Syukur Alhamdulillah!', Sheila Majid kongsi detik manis pernikahan anak lelaki
Fhais mencetuskan perbincangan hangat dengan kenyataan beliau:
"Semakin belajar psikologi kanak-kanak semakin saya faham bahawa ibu bapa yang baran, mudah melenting dan cepat stres adalah tanda jiwa yang belum sembuh."
Kenyataan itu menggariskan bahawa reaksi berlebihan ibu bapa terhadap tingkah laku anak-anak seringkali bukan tentang salah anak, tetapi tentang luka yang belum dirawat dalam diri ibu bapa itu sendiri.
Perkongsian Fhais mendapat pelbagai komen daripada komuniti ibu bapa yang rata-ratanya mengakui kebenaran kenyataan tersebut.
1. Trauma masa lampau
Pengguna bernama Nor Hasyida mengakui bahawa pengalaman trauma pada zaman kanak-kanak mempengaruhi tingkah lakunya.
"Ini apa yang saya alami sekarang. Tidak mahu pun marah anak. Salah dia kecil sahaja saya kerap marah... Tapi betul, dulu kecil-kecil selalu kena rotan, takut dengan mak kalau buat silap. Mak dulu kalau pukul berbirat badan kalau buat silap. Benda itu melekat dalam kepala otak saya sampai sekarang. Itu belum lagi kes-kes cabul. Kes-kes orang buli sebab anak banduan."
Pandangan itu selari dengan ulasan Farahiween yang menegaskan pentingnya proses penyembuhan diri:
"Terapi sembuhkan luka dalaman kita ia adalah suatu proses. Sebagai orang dewasa, kita mempunyai banyak trauma zaman kanak-kanak yang dikenakan kepada kita semasa kita kecil. Bila ada anak, luka-luka lama ini semua terbuka balik."
Dalam psikologi, ini dikenali sebagai Penularan Trauma Antara Generasi, yang mana corak didikan keras, penderaan atau pengabaian dialami oleh ibu bapa semasa kecil akan dicerminkan kembali dalam cara mereka mendidik anak.
Anak-anak menjadi pemicu yang membuka semula luka lama tersebut.
2. Ketagihan masa skrin ibu bapa
Seorang lagi pengguna, Nuur Ul Hazwani, membawa perbincangan kepada isu moden iaitu kesan masa skrin yang tidak terbatas terhadap kestabilan emosi ibu bapa.
"Tidak menafikan fakta itu. Tetapi saya perhatikan tingkah laku seperti ini pun boleh jadi punca daripada masa skrin yang tidak terbatas ibu bapa. Sama seperti mana kita mengawal anak tidak boleh melepasi had masa skrin untuk mengelakkan mereka tidak reti bersabar, cepat marah dan lain-lain.
"Perkara sama berlaku kepada ibu bapa. Sebab masa skrin ini umpama satu ketagihan yang menyebabkan semua sukar untuk mengawal emosi."
Pendedahan berlebihan kepada gajet menyebabkan gangguan tumpuan dan pengurangan kemahiran menguruskan tekanan dalam kehidupan sebenar.
Apabila ibu bapa terlalu lama dengan skrin, mereka cenderung kurang sabar terhadap gangguan atau tuntutan anak-anak seterusnya mudah melenting apabila perhatian mereka terganggu.
View on Threads
Kesan emosi ibu bapa yang tidak stabil bukan sahaja mendatangkan kesan kepada diri sendiri, malah turut merosakkan perkembangan psikologi anak-anak.
Pengguna Lieylzulkifli berkongsi pengalaman menyedihkan apabila guru anaknya membangkitkan isu keyakinan diri di dalam kelas.
"Ini adalah saya, tetapi sejak selepas perjumpaan ibu bapa dengan guru, guru menyatakan anak lelaki saya yang berumur empat tahun seolah-olah kurang keyakinan diri di dalam kelas, saya mula terfikir. Adakah kerana kerap kena marah atau kerana saya kerap menaikkan suara? Sangat terkesan apabila guru memberitahu tingkah laku beliau di dalam kelas kadang-kadang kurang keyakinan diri, takut buat salah."
Penyembuhan diri dan terapi adalah penting untuk memecahkan kitaran trauma.
Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka tidak boleh memberi apa yang mereka sendiri tidak miliki iaitu ketenangan emosi dan kasih sayang tanpa syarat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
