KEHADIRAN zuriat bukan sahaja dinanti-nantikan sebagai pelengkap rumah tangga, malah sering dianggap sebagai pengikat kasih sayang antara suami isteri.
Namun, usaha untuk merancang kehamilan kadang kala tidak semudah yang disangka, terutama apabila ramai pasangan bergantung sepenuhnya pada aplikasi kesuburan (fertility apps) untuk mengesan waktu subur.
Menurut Dr. Raihana, kebanyakan aplikasi ini hanya mengira waktu subur berdasarkan corak kitaran haid terdahulu. Contohnya, jika kitaran haid biasanya 28 hari, aplikasi akan menganggarkan ovulasi berlaku pada hari ke-14.
“Realitinya, ovulasi tidak semestinya berlaku pada hari yang sama setiap bulan. Aplikasi hanya membuat prediction berdasarkan purata, tanpa mengesan hormon atau tanda fizikal,” jelasnya.
BACA LAGI: Dari bilik jenazah: Sukarelawan dedah kisah isteri dizalimi suami hingga dijangkiti HIV
BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Meneliti suhu badan basal dan perubahan tubuh menjadi kaedah semula jadi yang lebih tepat dalam mengenal pasti waktu subur. — Gambar hiasan
Dr. Raihana menambah, aplikasi tidak mampu membaca LH surge, menganalisis lendir serviks, atau memeriksa suhu badan basal yang menunjukkan ovulasi. Oleh itu, ketepatan aplikasi ini adalah terhad. Sekiranya ovulasi tertunda, jendela subur juga akan berubah, tetapi aplikasi masih mengikut kitaran lama, sekali gus menjejaskan ramalan hari subur sebenar.
Beliau menasihati pasangan yang merancang kehamilan supaya lebih peka kepada tanda-tanda semula jadi tubuh. Antara tanda yang boleh diperhatikan termasuklah lendir serviks yang menyerupai putih telur, penggunaan ujian ovulasi untuk mengesan LH surge, perubahan suhu badan basal yang meningkat selepas ovulasi, senggugut ringan atau sakit ketika ovulasi, serta sensasi ketegangan atau sakit pada payudara.
“Apps tetap berguna untuk merekod kitaran haid dan corak bulanan, tetapi ia bukan penanda pasti ovulasi,” tambah Dr. Raihana.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsi pengalaman sendiri dalam usaha mendapatkan zuriat dan kebanyakannya mengakui kaedah yang lebih semula jadi lebih membantu.
Seorang pengguna, Suzianah Unchang berkata, beliau menggunakan aplikasi hanya untuk mencatat tarikh haid, manakala waktu suburnya ditentukan melalui perubahan cecair badan.
“Saya memang guna apps untuk catat tarikh mula dan tamat haid sahaja. Tapi ovulasi atau waktu subur saya lihat melalui cecair yang keluar. Saya memang jarang ada keputihan, jadi bila keluar cecair jernih dan likat seperti putih telur, saya tahu itu waktu subur saya," katanya.

Ujian ovulasi (OPK) antara alat paling mudah untuk mengesan lonjakan hormon yang menandakan ovulasi sebenar. — Gambar hiasan
Seorang lagi pengguna, Ainin Sofiya Azhar mengakui bahawa usaha trying to conceive (TTC) membuatkan beliau tidak lagi bergantung pada aplikasi kerana kitaran haidnya tidak menentu.
"Sejak saya mula cuba untuk hamil, saya dah tak ikut sangat apa yang apps ramalkan sebab kitaran haid saya pun tak tetap.
"Saya bersama suami bila ada lendir jernih seperti putih telur sebab itu cara paling cepat nak kesan ovulasi. Alhamdulillah, akhirnya rezeki dapat juga seorang anak," katanya.
Individu lain, Mila Asha, turut menyokong pandangan Dr. Raihana selepas mendapati sendiri bahawa ovulasi tidak pernah konsisten pada setiap kitaran meskipun periodnya teratur.
"Betul apa doktor cakap. Saya pernah guna kit ovulasi selama tiga kitaran sebab nak hamil. Hari ovulasi setiap kitaran memang tak sama. Haid saya teratur, tapi ovulasi ada yang berlaku pada hari ke-13, ada yang hari ke-21," katanya.
Pengalaman-pengalaman ini mengukuhkan nasihat Dr. Raihana bahawa walaupun aplikasi boleh dijadikan alat bantu untuk merekod corak haid, ia bukan penentu tepat hari subur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
